
VOLKSWAGEN ID.BUZZ LAKU KERAS DI EROPAH. LEPASI 10,000 UNIT TEMPAHAN SEBELUM PENYERAHAN BERMULA
Volkswagen ID. Buzz telah habis dijual di Eropah beberapa bulan sebelum penghantaran van mini elektrik itu kepada pelanggan bermula.
Jualan kini telah melepasi 10,000 unit dengan 3,400 telah diambil oleh Norway yang jauh ke hadapan berbanding negara lain kerana ia melarang penggunaan enjin pembakaran mulai tahun 2025. Pembeli dari Jerman di tempat kedua apabila sudah meletakkan deposit untuk 2,500 unit. Manakala Belgium dan Belanda memperoleh 2,100 unit van tersebut.
Walaupun pengeluaran ID. Buzz bermula di kilang Volkswagen di Hanover pada bulan Mei, jentera itu dijangka tidak akan dihantar sehingga Oktober di Eropah. UK mendapat versi pemanduan sebelah kanan pada awal 2023, tetapi A.S. perlu menunggu sehingga awal 2024 untuk mendapatkan EV retro yang telah lama ditunggu-tunggu itu.

Volkswagen dilapor akan membina 15,000 van Buzz tahun ini, sebelum meningkat sehingga 60,000 tahun depan dan 130,000 unit menjelang akhir kitaran modelnya.
Memandangkan permintaan yang sangat tinggi, pembeli di benua Eropah yang berharap untuk menjadi yang pertama mungkin akan berasa kecewa jika mereka masih belum membuat pesanan sekarang.
ID. Buzz versi Eropah yang dipamerkan di bilik pameran tahun ini dilengkapi bateri berkapasiti 82kWh dengan kapasiti lima tempat duduk. Van panel Buzz Cargo juga menggunakan jarak roda yang sama.
Salah satu sebab kenapa pembeli di Amerika perlu menunggu lebih lama ialah versi untuk pasaran Amerika Utara akan menggunakan platform jarak roda yang lebih panjang yang tidak akan dilancarkan di Eropah sehingga tahun depan.