Buletin

POLIS BURU WANITA MABUK LANGGAR HARLEY DAN AVANTIS SEMALAM DI BUKIT ANTARABANGSA

Polis kini sedang memburu seorang wanita yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan melanggar dua buah motosikal di Bukit Antarabangsa, malam semalam. 

Pemandu berkenaan dikatakan menghimpit sebelum melanggar motosikal Harley-Davidson dan Yamaha Avantis, menyebabkan jentera berkenaan mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi. 

“Kedua-dua penunggang terbabit meminta pemandu wanita itu membuat laporan polis. Namun dia enggan memberi kerjasama dan terus memecut melarikan diri,” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. 

Menurut Mohamad Farouk, polis sudah berjaya mengesan wanita berusia 52 tahun dan tangkapan kini sedang dijalankan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya,” katanya.

Terdahulu, video wanita berkenaan melarikan diri tular di media sosial. Video berdurasi seminit itu menunjukkan wanita berkenaan dalam keadaan tidak sedar dan mengaku memandu dalam keadaan mabuk.

Apabila diminta untuk membuat laporan polis wanita terbabit terus memecut laju melarikan diri. – Harian Metro

Google ads
"
"
Back to top button