
DATUK BANDAR DITAHAN MEMANDU DALAM KEADAAN MABUK – SIAP ADA ANAK LAGI DALAM KERETA
Datuk Bandar Lumberton, New Jersey telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol pada hari St Patrick baru-baru ini. Bukan itu sahaja, pemeriksaan polis mendapati beliau turut membawa anak kecil dalam kereta semasa kejadian. Hebat tu puan.

Hari St Patrick memang agak popular di AS dan pada hari tersebut biasa ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk. Ia merupakan hari yang sibuk untuk pegawai polis di seluruh negara dan salah seorang pesalah yang ditahan rupanya Datuk Bandar Lumberton Township, New Jersey yang sudah berkhidmat selama dua penggal!
Menurut laporan The Independent, Lumberton Township Police Department telah menahan Gina LaPlaca, Datuk Bandar mereka sendiri kerana memandu di bawah pengaruh alkohol. Laporan polis menyebut Datuk Bandar wanita tersebut telah meminum minuman keras sebelum memandu untuk menjemput anak lelakinya yang berusia dua tahun dari pusat jagaan.
Seorang pengguna jalan raya membuat rakaman LaPlaca memandu BWM beliau dengan keadaan yang merbahaya dan hampir melanggar tiang lampu jalan. LaPlaca sendiri mengaku mengambil minuman keras sebelum memandu. Kan senang macam tu. Tak payah la buat-buat tak mengaku salah dan buang masa mahkamah.
Polis kemudian membuat ujian biasa untuk pemandu mabuk dan keputusannya seperti mana yang diagak mereka. LaPlaca segera ditahan atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Selepas pemeriksaan teliti dilakukan, LaPlaca dikenakan beberapa pertuduhan seperti memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI), membahayakan keselamatan kanak-kanak (anak sendiri pula tu), lesen memandu tamat tempoh dan beberapa pertuduhan lain.

Masak jugak la Datuk Bandar tu kalau didapati bersalah. Lain kali kalau mabuk tak payah la gatal-gatal nak memandu. Lagi bagus kalau tak payah mabuk langsung. Dengar kata wakil-wakil penduduk pun sudah bersuara supaya LaPlaca meletakkan jawatan beliau.