Buletin

ZICO MASIH PAKAI TOYOTA CELICA HADIAH BELASAH LIVERPOOL 40 TAHUN LALU

Legenda bola sepak Brazil, Zico masih menggunakan kereta Toyota Celica ketika dinobatkan sebagai Man of The Match menentang Liverpool 40 tahun lalu.

Perancang digeruni pihak lawan itu menerima kereta berkenaan ketika pasukan Flamengo membelasah Liverpool dengan jaringan 3-0 dalam kejohanan Intercontinental Cup 1981 yang berlangsung di Jepun.

Zico menerima Toyota Celica yang bernilai £8,000 (RM45,630) sebagai hadiah daripada pengeluar gergasi kenderaan Jepun selepas perlawanan di Stadium Kebangsaan dekat Tokyo.

Sehingga hari ini, ikon Brazil tersebut masih memandu jentera berkenaan sekitar Rio de Janeiro di Brazil.

“Saya menerima banyak tawaran untuk menjual Celica ini dan tidak terlintas ingin menjualnya.

“Ia merupakan trofi berharga, memori menakjubkan dan paling utama, ia pertandingan penting pernah dimenangi Flamengo sehingga kini.

“Kereta masih dalam keadaan baik dan berada di rumah. Ia akan kekal begitu selagi saya masih menghembuskan nafas,” katanya.

Toyota merupakan penaja rasmi kejohanan Intercontinental Cup bermula tahun 1980 hingga 2014. Kini kejohanan tersebut dikenali sebagai Piala Kelab Dunia (World Club Cup).

Pada kebiasaannya, sesiapa yang dinobatkan sebagai pemain terbaik akan membawa pulang sebuah kenderaan tetapi selalunya para pemenang menjual kereta itu dan membahagikannya hasil jualan kepada rakan sepasukan.

Bagaimanapun, Zico ingin menyimpan kenderaan tersebut.

“Toyota ingin saya membawa pulang Celica itu ke Brazil. Saya mahukan Celica tersebut sebagai trofi,” katanya kepada Autoesporte.

Zico terpaksa mendapatkan bantuan untuk membawa pulang kenderaan tersebut ke negara asalnya berikutan undang-undang import amat ketat ketika tahun 1976 hingga 1990.

Biarpun, beliau menentang Liverpool pada tahun 1981 tetapi hanya menerima kereta berkenaan pada tahun 1983.

Ketika itu, pemain tengah Brazil itu dalam perjalanan berkelana ke pasukan Udinese di Serie A, Itali.

Zico tidak menerima Celica ST dipersembahkan di Stadium Kebangsaan Tokyo tetapi dinaik taraf kepada model generasi ketiga Celica 2.0 GT yang mampu memecut mencecah 145 hp.

Bintang Piala Dunia 1982 tersebut hanya dapat memandu trofi dimenangi pada tahun 1985 selepas pulang ke Brazil.

Beliau masih memandu kenderaan dimenangi sehingga hari ini. – TheSun

Google ads
Back to top button