Buletin

POLO SEDAN LEBIH MURAH!

Ada berita baik untuk peminat kereta Volksawagen. Buka laman web rasminya, anda akan dihidang dengan satu tawaran model Polo Sedan. Versi tahun 2014 ini bakal ditawarkan pada harga lebih murah iaitu RM89,888 seunit berbanding RM99,888 bagi model yang dijual sekarang. Ia bukan sahaja murah, malah turut menerima beberapa penambahbaikan. 

6

Ruang kabin Polo Sedan kini dilengkapi perehat tangan bersama ruang penyimpanan barang. Sementara unit audio ditukar dengan pemain audio RCD 320 yang hadir dengan ciri antara muka iPod, USB, slot kad SD, AUX-in, ketersambungan Bluetooth dan empat pembesar suara.

Bagi memberi keselesaan kepada penumpang, sedan ini menggunakan sistem pendingin udara automatik Climatronic. Bagi penumpang belakang pula, corong pendingin hawa disediakan.

3

Bahagian luaran tidak menampakkan perubahan ketara. Lampu hadapan jenis Halogen kini diletakkan di dalam perumah berwarna jernih, berbanding warna hitam sebelum ini. Lampu kabus juga dipasang pada bahagian hadapan dan belakang bagi memastikan kehadiran jentera ini sentiasa disedari oleh pengguna jalan raya yang lain.

Penampilan Polo Sedan disempurnakan dengan rim aloi “Riverside” bersaiz 15 inci agar kelihatan lebih sporty.

8

Sedan ini bagaimanapun masih menggunakan enjin pancitan terus 16 injap MPI, bersesaran 1.6 liter yang sama. Mampu menjana sehingga 105PS dan tork puncak 153Nm @ 3,800rpm, ia dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

Dari segi prestasi pula, Polo  Sedan berupaya mencatat kelajuan maksimum 183km/j  dengan penggunaan bahan api sekitar 6.5 liter petrol untuk setiap 100km.

7

Berkaitan aspek keselamatan, Polo Sedan hadir bersama empat beg udara dan sistem Intelligent Crash Rsponse System (ICRS). ICRS ialah sistem keselamatan aktif yang berfungsi memastikan pintu tidak terkunci dan menyalakan lampu kecemasan jika kereta terlibat dalam kemalangan.

Harga anggaran itu dilihat mempunyai kaitan rapat dengan program pemasangan tempatan (CKD) yang pernah diuar-uarkan beberapa kali sebelum ini. Untuk makluman, model Polo Sedan yang dijual sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari India. Jika berminat, tempahan untuk model ini sudah dibuka.

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button