Artikel Pilihan

10 SISTEM AUDIO PREMIUM IDAMAN

Bermula dengan pemasangan sistem radio transmisi AM yang dipasang pada kereta bermula tahun 1950, sistem audio kereta berkembang seiring dengan kemajuan teknologi digital dan berubah menjadi sistem multimedia yang sangat kompleks. Ia menerima teknologi pemain kaset (kenal lagi tak), pemain cakera padat CD, DVD, unit USB serta dinaiktaraf supaya ia berfungsi sebagai sistem navigasi kenderaan.

Namun apa yang kami ingin ketengahkan pada kali ini ialah pilihan jenama pembesar suara premium yang digunakan oleh kenderaan mewah. Walaupun namanya pelik, namun kualiti bunyi yang dihasilkan sangat merangsang deria pendengaran penulis seperti Mazda CX-9 (Bose) dan juga Volvo XC-40 (Harmon Kardon) yang telah diuji oleh penulis.

Kami senaraikan 10 jenama sistem audio premium yang menjadi pilihan sebagai kelengkapan standard kereta mewah. Mungkin ada jenama ini tidak dipasarkan di Malaysia.

1. Harmon Kardon

Sistem audio ini menjadi pilihan bagi jenama Audi, BMW, Mercedez, MINI, Subaru dan juga Volvo. Jenama ini diasakan oleh Sidney Harman dan juga Bernard Kardon pada tahun 1953 sebelum ia dibeli oleh Samsung Electronics pada tahun 2017 dengan nilai 8 billion USD. Audio 600 watt Premium Sound jenama ini dipasang pada Volvo XC40 dengan menggunakan 13 pembesar suara, sistem bunyi sekeliling 7.1, sistem pembatalan bunyi luar dan juga sistem perubahan kekuatan bunyi pelarasan automatik

2. Bang & Olufsen

Syarikat ini berasal dari Denmark diasaskan oleh Peter Bang dan  juga rakannya Sven Olufsen menjadi pilihan untuk sistem audio BMW 7 Series. Bang & Olufsen menggunakan kepakaran mereka untuk mereka sistem audio agar bunyi yang dihasilkan dalam BMW sama seperti sistem audio home theater mereka

Sistem ini terdiri daripada 16 pembesar suara berkuasa 1200 watts termasuk 7 tweeter dan juga 2 subwoofer yang dipasang dibawah tempat duduk hadapan untuk mengurangkan gangguan getaran bunyi. Sistem Audio ini juga menggunakan teknologi Acoustics Lens untuk menyebarkan bunyi dalam sudut 180 darjah di dalam kabin. Ia juga menawarkan teknologi bunyi Studio Mode dan juga Expanded Mode (meniru bunyi konsert) bagi kualiti bunyi yang baik ketika memandu.

3. Bose

Mungkin jenama ini sudah menjadi kebiasaan bagi pemilik kereta Mazda, namun ia juga menjadi pilihan sistem audio untuk dipasang pada Maybach 57S iaitu sebuah sedan ultra premium yang berharga 308,000 pound. Pada model ini ia menggunakan sebanyak 21 pembesar suara. Sekiranya anda merasakan harga kereta Maybach ini terlampau mahal, sistem audio Bose ini juga boleh didapati pada Mazda CX-9 yang dipasang dengan 10 pembesar suara dan 2 unit subwoofer.

Jenama ini diasaskan oleh Amar Gopal Bose berketurunan India di sebelah bapanya dan ibunya merupakan keturunan German-Peranchis. Dia mengasaskan syarikat Bose ketika bertugas di MIT apabila kecewa dengan kualiti bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara

4. Mark Levinson

Merupakan jenama yang berasal daripada Amerika Syarikat dan diasaskan pada tahun 1972. Bermula dari tahun 2001 jenama ini mula dipasang pada kereta Lexus sebagai pilihan naik taraf pada harga RM10,490 bagi model LS460 dan RM6700 bagi model ES350. Sistem Mark Levinson menggunakan sistem pembesar suara bespoke dan juga sistem penghasilan bunyi persekitaran secara digital.

Pada tahun 2006 Lexus LS460 menawarkan sistem audio Mark Levinson dengan 19 pembesar suara dan Reference Surround Sound dengan kuasa 450 watt. Bunyi yang dihasilkan adalah jelas, tanpa gangguan dan seimbang. Keadaan ini ditambah baik dengan sistem kedap bunyi kereta Lexus menghasilkan persekitaran yang bagus untuk mendengar muzik walaupun pada nada yang rendah.

5. Bowers and Wilkins

John Bower dan Roy Wilkins merupakan rakan karib ketika bertugas dalam unit semboyan dan komunikasi ketika perang dunia kedua meletus. Mereka mengasaskan B&W pada tahun 1966 di West Sussex England. Pada mulanya mereka memasarkan peralatan siar raya yang digunakan di sekolah dan juga gereja. Sehinggalah pada tahun 2007 mereka mula memasang sistem audio untuk Jaguar, Maserati, Volvo dan juga BMW.

Bagi Maserati Quattroporte sistem audio B&W telah dilengkapkan dengan sistem isyarat Harman Quantum Logic dan juga 15 pembesar suara berkuasa 1280 watt. Pembesar suara ini dibina dengan menggunakan Kevlar iaitu bahan yang sama dalam pembuatan baju kalis peluru bagi menghasilkan bunyi bass yang padu.

6. Burmester

Dieter Burmester merupakan seorang pemuzik dengan bakat semulajadi serta jurutera bunyi yang berbangsa Austria. Kecewa dengan kualiti pembesar suara yang tidak memuaskan, beliau bercita-cita untuk menghasilkan pembesar suara yang boleh meniru bunyi sebenar yang keluar dari alat muzik seolah olah ia dimainkan secara langsung. Semuanya bermula apabila unit preamlifier yang digunakan sering rosak dan Burmster nekad menghasilkan preamplifier sendiri daripada perkakasan hospital

Burmster Audiosystem diasaskan pada tahun 1977 di Berlin dan mula memasarkan perlatan mereka untuk kegunaan automotif pada tahun 2005. Mercedes – Maybach S600 telah dipasangkan dengan pembesar suara 3 dimensi Burmester 1540 watt. Sistem ini mengandungi 24 pembesar suara yang kebanyakannya dipasang pada bumbung kereta manakala isyarat bunyi diuruskan oleh gabungan isyarat digital dan analog bagi kualiti bunyi terbaik.

7. Naim

Jangan salah sangka walaupun bunyi seperti nama Melayu, namun pengasasnya merupakan rakyat United Kingdom iaitu Julian Vereker. Sama seperti pengasas syarikat sistem audio yang lain, Julian mengasaskan Naim Audio Visual pada tahun 1969 dengan produk pertama iaitu amplifier. Naim telah dipilih oleh Bentley bagi memasang sistem audio mereka pada Mulsane dan Continental GT.

Untuk model Continental GT, sistem ini dilengkapi dengan 20 pembesar suara yang menghasilkan 2200 watt dan diuji di terowong angin pada halaju yang tinggi. Ia bagi memastikan walaupun kereta ini dipandu laju, namun kualiti bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara tidak terjejas dan sampai pada semua penumpang. Memadai dengan harga yang ditawarkan iaitu sekitar RM33,600 bagi setiap set.

8. Focal

Jenama Focal diasaskan oleh Jacques Mahul pada tahun 1979 di Peranchis dan juga bertindak sebagai syarikat penaung kepada jenama Naim. Sudah tentu jenama Focal banyak digunakan oleh Peugot dan juga DS. Bagi model 3008 sistem audio Focal menghasilkan 550 watt dengan menampilkan 4 pembesar suara yang dihasilkan dari bahan polyglass, 1 subwoofer dengan magnet yang kuat dan 4 unit tweeter inverted dome.

9. Meridian

Jenama Meridian diasaskan oleh Allan Boothroyd dan juga Bob Stuart di England pada tahun 1977. Jenama ini menjadi pilihan sistem audio untuk kereta McLaren, Land Rover dan juga Jaguar. Bagi menghasilkan bunyi seperti suasana live konsert, Meridian menghasilkan teknologi pemprosesan bunyi yang mencampurkan isyarat stereo dan juga menyebarkan bunyi tersebut di sekeliling kabin melalui pembesar suara yang dipasang pada bumbung. Hasilnya bunyi yangdihasilkan sangat halus dan tersebar secara sekata.

Bunyi ini dihasilkan oleh 16 pembesar suara 825 watt, 16 saluran yang berharga sekitar RM9000 sahaja. Teknologi bunyi ini dibantu oleh Meridian Cabin Correction iaitu sistem pemprosesan bunyi digital untuk membetulkan lantunan gema dalam kabin kereta bagi menghasilkan bunyi yang jelas dan bertenaga.

10. Sonus Faber

Ia merupakan syarikat sistem audio yang berasal dari Itali dan diasaskan pada tahun 1983 oleh Franco Serblin. Sistem audio ini dipasang ditala secara khusus pada supercar Pagani Huayra. Sistem audio ini menampilkan 2 unit tweeter, 2 unit midwoofer, satu subwoofer, dan 2 amplifier dengan output sistem mencecah 1200 watt. Unit pembesar suara ini dihasilkan dari gentian karbon dan juga magnet neodymium.

Bagi mengurangkan bunyi amukan enjin V12 6000cc, sistem ini dilengkapkan dengan unit signal digital agar ia membatalkan gelombang bunyi dari enjin.

Tags
Google ads
Back to top button