Buletin

PORSCHE SELESAIKAN TUNTUTAN SAMAN DENGAN ANAK PAUL WALKER

Anak perempuan Paul Walker, bintang Fast and Furious dilaporkan telah menyelesaikan tuntutan saman yang difailkan beliau terhadap Porsche dua tahun lepas.

Menurut laporan ABC News, Meadow Walker dan Porsche, telah bersetuju untuk menyelesaikan isu tersebut awal bulan ini tetapi berapa jumlah bayaran dan syarat-syarat lain dirahsiakan sepenuhnya.

Walaupun tidak dinyatakan jumlahnya, tuntutan sebelum ini mendakwa yang Porsche Carrera GT yang dinaiki oleh Paul Walker telah dilengkapi dengan tali pinggang yang direka dengan tidak sempurna menyebabkan Walker gagal menyelamatkan diri dari kebakaran yang tercetus sebaik kereta yang dipandu oleh Roger Rodas melanggar sebatang pokok.

Tuntutan itu turut menyebut yang Walker dilaporkan masih hidup lebih dari seminit selepas kemalangan sebelum kebakaran berlaku dan menyebabkan beliau terbunuh.

BACA: INI SEBABNYA FILEM FAST & FURIOUS 9 DITUNDA SEHINGGA TAHUN 2020

Kandungan lain tuntutan tersebut yang dilaporkan oleh People Magazine pula menyatakan “Carrera GT mempunyai sejarah isu kawalan dan ketidakstabilan” dan syarikat pengeluar gagal memasang sistem kawalan kestabilan elektronik walaupun mengetahui tentang masalah tersebut.

Porsche sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pengubahsuaian dan penyalahgunaan kereta tersebut telah menyumbang dan menyebabkan insiden kematian aktor terkenal tersebut.

Ini merupakan kali kedua Porsche menyelesaikan hal tuntutan berkaitan kematian Paul Walker di mana sebelum ini syarikat tersebut turut membuat perjanjian penyelesaian dengan ayah Walker, Paul Walker III, yang merupakan pemegang amanah beliau.

 

Google ads
Back to top button