
PROTON BERI JAMINAN LANJUTAN 1 TAHUN KE ATAS KERETA PRA-MILIK PCPO
PROTON akan memberikan jaminan lanjutan selama satu tahun ke atas semua kenderaan Pra-Milik Bertauliah PROTON (PCPO) demi memberi ketenangan fikiran kepada pembeli.
Berkuatkuasa serta-merta, semua kenderaan PCPO yang dijual melalui cawangan kereta terpakai PROTON layak untuk Program Waranti Lanjutan PCPO (PCPO-EW) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance.
Di bawah program ini, bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak semasa penggunaan biasa akan dibaiki atau diganti untuk jarak 25,000km atau 12 bulan.

“PROTON ingin mengalu-alukan Allianz sebagai rakan kongsi insurans dalam usaha kami untuk memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan.
“Dengan jaminan lanjutan, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah.
Sejak ditubuhkan pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) PROTON telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan. Selain memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan standarad yang ditetapkan.
Kini, UCM PROTON mempunyai 36 cawangan di seluruh negara.

“Dengan jumlah jualan PROTON yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli. Bagi mengutamakan kepuasan pelanggan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain,” tambah Roslan.
Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 poin dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan serius.
Pelanggan akan menikmati jaminan lanjutan 1 tahun yang meliputi enjin dan transmisi, di samping sekali servis asas percuma selepas 6 bulan dari tarikh pembelian.
UCM juga telah membangunkan satu laman web khusus untuk kereta terpakai PROTON (http://used-cars.proton/com). Pelanggan boleh melihat stok tanpa perlu mengunjungi bilik pameran dan
mendapatkan anggaran harga pasaran bagi kereta terpakai.







