Buletin

‘BANGGA’ PAKAI SEAT BELT CLIP, BUDAK ‘H’ TERUK DIKECAM NETIZEN

Salah satu ciri keselamatan paling penting dalam kereta ialah tali pinggang keledar. Namun masih ramai tidak mempedulikan tentang aspek keselamatan ketika memandu, bahkan ia masih dipandang remeh.

Tidak semua ‘kita buat dia, bukan dia buat kita’ menguntungkan kita. Apatah lagi kalau keselamatan jadi taruhan.

Baru-baru ini tular satu hantaran di Facebook dengan kapsyen “Benda simple tapi boleh hilangkan stress” berserta foto klip tali pinggang untuk digunakan pada kereta berjenama Honda.

Ya, memang ada yang menyatakan bahawa mereka stres apabila mendengar bunyi amaran tali pinggang keledar. Maka, klip tali pinggang keledar digunakan sebagai solusi untuk menipu sistem. Sedangkan apa yang patut dibuat ialah pakai saja tali pinggang keledar yang tersedia. Senang dan tanpa modal!

Warganet rata-ratanya memerli hantaran tersebut dengan mengatakan bahawa ia memudahkan kerja syarikat insurans. “Lain kali bagitahu Honda buang belt dgn airbag, boleh murah sikit,” ini antara komen mendapat banyak reaksi daripada pengguna Facebook.

“Kalau pakai seatbelt pon tak nak inikan pulak bagi signal. Ada lagi manusia mentaliti macam ni kat Malaysia,” tulis seorang lagi di ruangan komen.

Seperti komen-komen pada hantaran tersebut, tindakan menggunakan klip tali pinggang keledar sememangnya tidak bijak. Apatah lagi, dia memilih untuk memuat naik perkara itu di sosial media.

Perkara asas seperti memakai tali pinggang keledar adalah hal utama ketika memandu, jika anda mengabaikannya, tidak hairan ia mencerminkan diri anda ketika di atas jalan raya. Mungkin lebih banyak kesalahan dilakukan.

Menurut kajian Malaysian Institute of Road Safety Research (Miros) pada tahun 2020, lebih 12 peratus pemandu menggunakan aksesori tersebut dan jumlah itu dibimbangi akan terus meningkat.

Walaupun banyak ciri keselamatan standard terdapat dalam kereta moden, tali pinggang keledar merupakan satu komponen asas untuk memastikan diri anda dan penumpang selamat sepanjang perjalanan.

Miros juga menyatakan penggunaan aksesori ini boleh menyebabkan sistem keselamatan seperti beg udara tidak berfungsi secara optimum.

Google ads
Back to top button