Buletin

PROTON CATAT JUALAN 10,380 UNIT PADA SEPTEMBER 2021

Bulan pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di menjadi tempoh paling produktif buat PROTON apabila mencatat jualan sebanyak 10,380 unit, sekali gus mengekalkan kedudukan kedua di Malaysia.

Jika melihat kepada anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sekitar 43,500 unit, PROTON memiliki pegangan pasaran 23.9 peratus.  Secara keseluruhan, pegangan pasaran bagi tahun 2021 adalah  23%, sekiranya dibandingkan dengan angka  penutup 20.7 peratus tahun lalu.

Prestasi jualan PROTON pada September dipacu oleh Proton Saga dengan 3,907 unit berjaya dijual. Angka tersebut membolehkah sedan segmen-A itu menduduki tempat teratas bagi jualan model secara individu.

Jualan SUV PROTON dilihat terus kukuh dengan peningkatan penyerahan model X70dan X50. Kedua-dua model berkenaan mengungguli segmen masing-masing dengan 2,431 unit X50 diserahkan pada September. Sementara X70 mencatat jualan 1,577 unit.

Secara keseluruhannya, 27,312 unit SUV telah dijual oleh PROTON sepanjang tahun 2021. Ia mewakili 37.4 peratus jualan keseluruhan tahunan syarikat sebanyak 73,017 unit.

Model Persona dan Iriz 2022 juga mencatatkan jualan bulan pertama yang memberangsangkan. Walaupun produksi terkesan akibat masalah bekalan komponen, PROTON masih mampu untuk menyerahkan 1,440 unit Persona dan 749 unit Iriz yang turut melibatkan varian Iriz Active.

“Kami amat berpuas hati dengan pencapaian baik PROTON pada September. Sebenarnya, kami mampu untuk menjual lebih daripada 10,380 unit yang diperolehi, tetapi konteks harus diberikan kepada prestasi kami kerana Malaysia dalam proses pemulihan pandemik yang masih lagi memberi kesan kepada pembekal-pembekal industri automotif.

“Situasi kini bertambah baik, tetapi kekurangan bekalan cip dan komponen lain adalah isu yang tidak akan selesai dalam masa yang singkat. Jadi kami harus berhati-hati apabila membuat anggaran jualan kerana kapasiti produksi tertakluk kepada perubahan semasa.

“Oleh itu, bagi tiga bulan akhir tahun ini, PROTON akan menumpukan perhatian untuk menyerahkan sebanyak mungkin kenderaan kepada pelanggan yang telah membuat tempahan.

“Menyelesaikan masalah permintaan yang tertangguh akan membolehkan lebih banyak jualan pada tahun hadapan. Ini akan membantu kita untuk maju ke hadapan dengan perancangan untuk meluaskan lagi rangkaian produk yang boleh diberikan kepada pasaran tempatan dan eksport,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Google ads
Back to top button