HAFIZH BERI BAYANGAN BERSARA MUSIM DEPAN?
Perkongsian status Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah di Instastory mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia 2022.
Dengan musim 2021 hanya berbaki tiga perlumbaan lagi, hala tuju anak kelahiran Selangor itu masih belum dapat dipastikan.
“Lapan tahun memori pahit dan manis di Kejuaraan Dunia. Terima kasih semua yang support saya sampai sini dan bantu saya selama ini.
“Saya takkan lupa anda semua, mana yang baik saya ambil, yang buruk saya lupakan. New things, saya akan bagi tahu anda, bila kena dengan masa. Anda semua terbaik, terima kasih semua,” katanya
Pada musim ini, Hafizh mewakili pasukan NTS RW Racing GP. Dia berjaya menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS) pada kedudukan ke-20 selepas bermula dari petak ke-27.
Turut dikenali sebagai ‘El Pescao’, Hafizh melengkapkan 18 pusingan perlumbaan di Circuit Of The Americas (COTA) dengan catatan 39 minit 50.179 saat.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Raul Fernandez memenangi aksi itu dengan catatan masa 39:10.521 saat. Tempat kedua milik Fabio Di Giannantonio dari Federal Oil Gresini Moto2 (masa: 39:12.255 saat).
Marco Bezzecchi dari pasukan SKY Racing Team VR46, catatan masa 39’13.621 saat turut menaiki podium. Sebaik aksi di AS tamat, Hafizh berada di tangga ke-28 keseluruhan carta pelumba Moto2 dengan lapan mata. Pencapaian terbaiknya adalah di GP Itali yang menyaksikan dirinya menamatkan saingan di tempat kesembilan, Mei lalu. – Berita Harian