Buletin

SAH! HONDA CIVIC TYPE R DILANCAR PADA 2022

Pandemik yang melanda dunia dan penurunan jualan kenderaan tidak menghalang Honda untuk membangunkan model ikonik Civic Type R baharu.

Pada Isnin pertama bulan Oktober 2021 Honda berkongsi dengan orang ramai dua gambar Civic Type R baharu yang penuh dengan pelekat samaran.

Pelekat itu tidak menjadi masalah kerana gambar yang dikongsi adalah dalam format resolusi tinggi dan menampakkan garisan badan dan ciri utama Civic Type R.

Pemberitahuan model ini hanya disampaikan ringkas dengan dua barisan ayat iaitu ianya sudah sedia untuk diuji di Nürburgring dan dijadual untuk diperkenal pada tahun 2022.

Tinggal dua bulan lagi sebelum tahun 2022 menjelma dan ini adalah tempoh yang tepat bagi menguar-uarkan kehadirannya ibarat berpesan kepada peminat; “Tunggu, aku nak mai dah!”

Makluman itu bagaimanapun terlalu umum memandangkan setahun mempunyai 12 bulan.

Civic Type R walaupun popular hanya mempunyai satu model global sahaja iaitu generasi kesepuluh (FK8R) yang diperkenal pada tahun 2017.

Civic Type R sebelum itu dibahagikan kepada dua iaitu model Jepun dan Eropah dan tidak dibawa secara rasmi ke banyak buah negara termasuk Amerika Syarikat.

Walaupun begitu, ada pengecualian diberikan dan Honda menawarkan Civic Type R (FD2R) secara rasmi di negara kita.

Apa ciri-ciri pada Civic Type R baharu? Berikut kami senaraikan:

  • Diasaskan dari Civic Hatchback.
  • Bampar depan agresif dengan bukaan udara yang luas dan liang di tepi.
  • Fender lebih kembang berbanding Civic Hatchback.
  • Liang pada fender lebih kecil berbanding FK8R.
  • Corak roda seperti FK8R.
  • Brek depan Brembo.
  • Skirt sisi dengan sirip ala FK8R.
  • Bahagian bawah bampar belakang dengan diffuser ala FK8R.
  • Ekzos tiga corong.
  • Spoiler belakang tinggi kekal tetapi dengan reka bentuk lebih sederhana dan ‘kaki’ lebih kecil.
  • Tiada sirip bumbung seperti FK8R.

Berkenaan nadi kuasa, Honda belum lagi mendedahkannya dan berkemungkinan besar menggunakan enjin 2.0L VTEC Turbo K20C1 yang dipertingkatkan.

Civic Type R yang berada di pasaran sekarang berkuasa 306 hp dengan tork 400 Nm dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan manual.

Satu lagi persoalan ialah di manakah Civic Type R baharu ini bakal dikeluarkan? Kilang tunggal Civic Type R FK8 di Swindon, United Kingdom telah pun ditutup.

Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah Civic Hatchback dikeluarkan di Indiana, Amerika Syarikat.

Adakah Civic Type R baharu buatan Amerika Syarikat selepas ini?

Google ads
Back to top button