Buletin

PROTON MULA EKSPORT IRIZ, PERSONA DAN SAGA FACELIFT. BRUNEI JADI NEGARA PERTAMA

Selepas pelancaran Proton X70 pada Julai tahun lalu, Pad Motors Sdn Bhd, pengedar PROTON di Brunei mencatat satu lagi kejayaan bagi syarikat melalui pelancaran Proton Iriz, Saga dan Persona versi terkini pada Jumaat, 10 Januari.

Majlis tersebut yang dihadiri oleh para pelanggan, penggiat sosial dan pihak-pihak berkaitan akan diikuti dengan program jelajah mulai 28 Januari.

Selepas peningkatan jualan yang cemerlang pada 2019 iaitu sebanyak 55.7% dan Syarikat berjaya menamatkan tahun 2019 di kedudukan kedua dalam jadual jualan, PROTON akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi jualannya pada tahun 2020 disamping turut meningkatkan jualan eksport.

Dengan matlamat jangka panjang Syarikat untuk menjadi jenama paling laris di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang tahun 2027, penting bagi Syarikat untuk mengutamakan jualan eksport dalam perancangan jangka panjangnya itu.

“Pasaran eksport akan memainkan peranan penting dalam kenaikan jualan tahunan PROTON. Ketika Syarikat menaik taraf model Iriz, Persona, Exora dan Saga tahun lepas, kami melakukannya dengan turut mengambil kira keperluan pasaran di luar negara selain Malaysia dan hari ini, tiga daripada kereta tersebut berada di pasaran Brunei.

“Ia adalah permulaan yang baik untuk tahun 2020 tetapi dari semasa ke semasa, kami akan terus mencari peluang untuk mengeksport kereta kami ke lebih banyak negara,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Selain daripada model yang dikemas kini itu, PROTON juga akan berusaha untuk mengembangkan jualan Proton X70. Dengan model versi tahun 2020 yang telahpun mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang dibina dengan kos sebanyak RM1.2 juta itu, Syarikat kini mempunyai pilihan untuk memperluaskan lagi penjualan SUV pintarnya itu.

“Dengan memasarkan Proton X70 di pasaran luar adalah penting bagi pertumbuhan jualan PROTON pada masa akan datang, terutamanya di negara-negara ASEAN yang berdekatan. Ia akan menerajui pengenalan model PROTON generasi akan datang yang kini sedang dibangunkan bersama Geely dan sekaligus akan mendekatkan jenama Syarikat dengan pelanggan di pasaran-pasaran tersebut,” tambah Dr Li Chunrong.

Tags
Google ads
Back to top button