
MACAM LIPAN TERSAKITI, JPJ AMBIL TINDAKAN KERETA DIUBAH SUAI SECARA EKSTREM
Sebuah kenderaan yang diubah suai sehingga badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan antara kes yang dikesan dalam Ops Ekstrem di sekitar ibu negara, Ahad lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 97 daripada 156 kenderaan yang diperiksa dalam operasi khas itu telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, operasi yang dijalankan dari pukul 1 hingga 5 pagi itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat orang awam berhubung aktiviti serta penggunaan kenderaan yang diubah suai secara ekstrem.
Katanya, pengubahsuaian berkenaan turut menimbulkan gangguan bunyi selain menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Dalam operasi ini, kita mengesan sebuah kenderaan yang diubah suai sehingga kedudukan badannya terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan, atau disifatkan sebagai kereta yang ‘berjalan seperti lipan’,” katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Operasi berkenaan membabitkan 78 anggota JPJ terdiri daripada anggota Ibu Pejabat JPJ, JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JPJ Selangor dan JPJ Negeri Sembilan.
“Hasil operasi, sebanyak 485 notis dikeluarkan yang merangkumi 357 Notis JPJ(P)22 (Saman), 38 Notis Seksyen 61(1) (Arah Periksa), 21 Notis PG(1) (Larangan Penggunaan Kenderaan), 30 Notis JPJ(P)23 (Arahan Mengemukakan Butiran) dan 37 Notis Seksyen 64(1) (Sita),” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi sebanyak 97 kes, kesalahan ekzos (77), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (66), tiada perlindungan insurans (57), cermin gelap atau sisi (44) dan pengubahsuaian bentuk (11).
Dalam operasi sama, JPJ menyita 37 kenderaan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambah Aedy Fadly, JPJ memberi amaran keras bahawa jalan raya awam bukan medan untuk mempamerkan pengubahsuaian ekstrem, menguji keupayaan kenderaan atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau saluran rasmi JPJ berserta maklumat lengkap bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE







