Buletin

MPL MALAYSIA RAI ULANG TAHUN KE-10 MLBB, LEGENDA MUSIM 18 BERPELUANG MENANG CHERY TIGGO CROSS HEV  

Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia memperkukuh penghargaan terhadap tokoh-tokoh yang banyak berjasa dalam pembangunan e-sukan tempatan menerusi penganjuran Anugerah Legenda terbesar dalam sejarah liga itu sempena sambutan ulang tahun ke-10 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Bagi Musim 18, seramai 20 calon dipilih untuk bersaing merebut gelaran Legenda Musim 18, jumlah tertinggi pernah disenaraikan sejak anugerah tersebut diperkenalkan.

Sebagai pengiktirafan istimewa terhadap penerima anugerah berprestij itu, Chery Malaysia selaku Rakan Automotif Rasmi MPL Malaysia akan menghadiahkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid, Chery TIGGO Cross HEV.

Anugerah Legenda diwujudkan bagi menghargai individu yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap MPL Malaysia sepanjang sedekad lalu, sama ada sebagai pemain, jurulatih, pengurus pasukan mahupun bakat siaran.

Pemilihan pemenang akan dibuat oleh panel yang terdiri daripada wakil liga serta tokoh industri. Antara syarat utama yang perlu dipenuhi termasuk mempunyai sekurang-kurangnya 10 musim penglibatan dalam MPL Malaysia dan masih aktif sehingga kini, pernah mewakili negara atau menyumbang kepada kejayaan pasukan Malaysia di pentas antarabangsa, mengekalkan rekod disiplin yang baik serta belum pernah menerima Anugerah Legenda sebelum ini.

Ketua Pasaran (E-sukan) MOONTON Games, Krystal Tan berkata, ulang tahun ke-10 MLBB bukan sekadar meraikan kejayaan permainan itu, malah turut menghargai individu yang berkembang bersama ekosistemnya sejak awal.

Menurut beliau, Anugerah Legenda menjadi platform penting untuk mengiktiraf mereka yang meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti dan industri, bukan hanya berdasarkan pencapaian dalam satu musim, tetapi sumbangan berterusan sepanjang tempoh yang panjang.

Sementara itu, Pengarah Jenama dan Pemasaran Chery Malaysia, Celeste Lim berkata, syarikat itu berbangga dapat menyokong inisiatif yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia serta mengiktiraf individu yang memainkan peranan besar dalam pembangunan e-sukan tempatan.

Beliau berkata, e-sukan kini menjadi platform kompetitif yang semakin berkembang dan berjaya menghimpunkan pemain serta peminat daripada pelbagai latar belakang.

Pemenang Anugerah Legenda Musim 18 akan diumumkan pada acara kemuncak MPL Malaysia yang berlangsung di CelcomDigi Dream Stage, sekali gus menambah kemeriahan sambutan sedekad MLBB di negara ini.

Google ads
Back to top button