BuletinMotosikal

RAJA CUBPRIX, KASMA DANIEL SAH KE MOTO2 TAHUN DEPAN!

Satu lagi bakat pelumba tempatan mendapat tempat di posisi perlumbaan kelas Moto2 MotoGP tahun hadapan. Kasma Daniel Kasmayuddin mengesahkan penyertaannya apabila dilamar pasukan Onexox TKKR SAG.

Ini bermakna Kasma Daniel bakal menyertai Hafizh Syahrin Abdullah untuk beraksi dalam kelas Moto2 musim depan.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan “Dragon Boy” itu pernah diberikan kesempatan beraksi dalam Moto3 menerusi tiket wildcard ketika perlumbaan di Sepang dua tahun lalu, namun gagal menghabiskan saingan.

Dia turut mempunyai reputasi cemerlang dalam kejohanan tempatan serta saingan Cub Prix. Selain masih terlibat dengan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Eropah (CEV) bersama pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team ketika ini.

“Perasaan saya awalnya memang terkejut kerana peluang ini satu kesempatan besar. Saya sendiri ibarat tidak percaya tetapi pasukan juga tidak letakkan sasaran tinggi dan menawarkan kontrak tiga tahun buat saya,” katanya.

Kehadiran Kasma Daniel ke dalam kem Onexox TKKR SAG bermakna dia akan berganding dengan penunggang dari Australia, Remy Gardner, selepas seorang lagi pelumba, Tetsuta Nagashima, dikhabarkan bakal beralih pasukan.

Tidak meletakkan sasaran tinggi dalam tahun pertama selaku rookie, dia yang berjaya menaiki podium Moto2 perlumbaan CEV di Aragon tahun ini selain menghuni tangga ke-10 keseluruhan berharap untuk segera menyesuaikan diri dengan jentera baru.

“Sasaran saya untuk tahun 2020 agar dapat mempelajari semua trek serta mengenal jentera lebih cepat. Apa yang penting, saya akan cuba tingkatkan prestasi dan keputusan.”

KREDIT: STADIUM ASTRO

Google ads
Back to top button