Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG NOS

Nitrous Oxide System sebenarnya merujuk kepada satu jenama produk yang memasarkan gas Nitrogen Oksida bagi kegunaan automotif. Sebenarnya gas ini sudah lama dijumpai sekitar tahun 1772 oleh Joseph Priestly secara tidak sengaja semasa beliau menjalankan kajian berkenaan gas yang sesuai untuk proses pengawetan makanan.

Gas ini dikenali dengan nama gas ketawa kerana sesiapa yang terhidunya akan menyebabkan mereka ketawa. Jadi untuk menang petandingan berlakon secara lawak, sembur saja gas ni pasti memang. Namun ia tetap digunakan sebagai gas anaestatik di dalam perubatan iaitu sebagai gas bius untuk pembedahan kecil. Sama seperti aplikasi turbo, gas ini turut digunakan di dalam enjin kapal terbang bagi kapal terbang Luftwaffe bagi meningkatkan prestasi enjin radial pada altitud yang tinggi.

Luftwaffe akan menggunakan gas NO2 ini di dalam kapal terbang risikan yang terbang tinggi, kapal terbang pengebom dan juga kapal terbang pemintas yang beroperasi pada julat yang tinggi. Aplikasi ini juga turut digunakan pada sebilangan kapal terbang milik tentera bersekutu seperti Supermarine Spitfire. Namun NO2 mula digantikan oleh mekanisme turbocaj secara berperingkat berikutan sistem turbo yang semakin boleh diharap mulai dihasilkan.

Sekitar tahun 1970an, sistem ini mula diaplikasikan pada perlumbaan drag yang memerlukan mereka menghasilkan kuasa dalam masa yang singkat untuk tujuan perlumbaan. Sehinggalah sistem ini dipopularkan oleh filem Fast & Furious pada tahun 2001, ia memberi idea bagaiamana enjin boleh menghasilkan lebih kuasa dengan pemasangan sistem NO2 pada enjin.

Idea di sebalik penggunaan gas NO2 ialah untuk membekalkan lebih gas Oksigen yang diperlukan dalam proses pembakaran bahan api. Salah satu cara untuk menghasilkan pembakaran yang lebih efisyen ialah dengan membekalkan lebih gas Oksigen di dalam silinder. Lebih banyak gas oksigen dimasukkan, lebih banyak petrol boleh dibakar dan ia akan menghasilkan lebih tork pada enjin.

“Jadi mengapa susah-susah? Pancitkan saja gas Oksigen, mengada-ngada nak masukkan gas NO2 buat apa? Enjin bukan boleh ketawa” ujar Solihin dengan muka yakin. Untuk pengetahuan pembaca, udara yang disedut oleh kita mengandungi 78% gas nitrogen, 21% gas oksigen, 1% gas argon. Menyedari hakikat ini, Barney Navarro iaitu salah seorang pelumba drag yang awal telah cuba untuk menyuntik gas Oksigen asli dalam enjin secara terus pada tahun 1950. Namun usahanya tidak berkesan.

Enjin dan cara operasinya adalah sama kompleks dengan perangai dan perasaan isteri anda di rumah. Apabila Barney menggunakan gas oksigen asli di dalam enjin, ia hanya menyebabkan fenomena ketukan berlaku. Gas oksigen asli yang dibekalkan membebaskan haba yang terlalu banyak apabila bergabung dengan petrol dan Barney memutuskan untuk menghentikan eksperimennya.

Berbanding dengan gas NO2, ia sebenarnya adalah gabungan 2 molekul gas nitrogen dengan satu molekul gas Oksigen. Gas ini disimpan di dalam kanister tekanan tinggi berada dalam bentuk cecair. Sebaik sahaja gas ini dilepaskan di dalam enjin, perubahan bentuk dari cecair kepada gas akan menyebabkan ia menyerap haba dari persekitaran dan menurunkan suhu sistem. Semakin sejuk suhu, semakin banyak udara boleh disedut untuk tujuan pembakaran.

Molekul gas Nitrogen Oksida

Sebaik sahaja gas NO2 dimasukkan di dalam silinder, haba dari silinder akan memaksa molekul NO2 ini berpecah kepada gas Nitrogen dan gas oksigen. Jadi sekali lagi proses ini membantu menyejukkan silinder dan mengelakkan fenomena ketukan berlaku semasa operasi enjin. Dengan lebihan oksigen yang ada, ECU hanya perlu menambahkan lagi lebih banyak petrol atau disel untuk dibakar dan menghasilkan tenaga.

Untuk sekali suntikan atau one shot nitrous, ia mampu meningkatkan kuasa di antara 100-300%. Sekiranya dalam keadaan biasa, enjin anda mampu menghasilkan 100 kuasa kuda, sistem ini mampu menggandakan sehingga 300 kuasa kuda daripada enjin. Persoalan pertama ialah adakah enjin anda mampu bertahan untuk beroperasi dalam keadaan ekstrim ini?

Terdapat 2 kaedah penghantaran gas NO2 pada enjin anda iaitu dry injection dan wet injection. Dalam dry injection, gas NO2 ini akan dimasukkan dalam air intake manifold dengan tekanan yang dihasilkan oleh enjin sendiri. Petrol pula akan dihantar seperti biasa ke dalam silinder. Dalam wet system, gas NO2 dan petrol dipancitkan bersama yang memerlukan beberapa perubahan untuk dibuat pada sistem penghantaran bahan api.

Sesetengah sistem boleh ditetapkan secara manual dan ada juga sistem memerlukan perisian komputer digunakan untuk memastikan ratio bahan api ditambah dalam julat yang sesuai. Pemandu hanya perlu melepaskan injap yang akan membebaskan gas NO2 dan ia hanya akan dilepaskan pada enjin melalui butang khas yang akan diaktifkan oleh pemandu.

Jadi jika sistem NO2 ini lebih baik daripada menggunakan kad magentik, kenapa kilang tidak memasangnya sebagai peralatan standard keluar dari kilang? Pertama ia akan memaksa enjin berkerja keras di luar julat kemampuannya yang boleh menyebabkan enjin mengalami kerosakan lebih awal. Ingat, lebih berkuasa enjin, lebih pendek jangka hayatnya jika tidak dibina menggunakan material yang sesuai.

Kedua, gas ini juga perlu disimpan di dalam kanister tekanan tinggi sekitar 6000kpa bagi setiap tangki. Jadi ia bukanlah sesuatu pengalaman yang menyeronokkan untuk memandu bersama-sama gas tekanan tinggi yang disimpan di dalam kereta anda.

Akhir sekali, kos pemasangan dan juga kos setangki gas NO2 ini bukanlah murah seperti yang anda harapkan. Malah seliter RON 100 adalah jauh lebih murah dari kos menggunakan gas NO2. Melainkan anda perlu memenangi perlumbaan lurus untuk jarak 2 atau 3km yang memerlukan anda menghasilkan kuasa yang cukup, maka anda bolehlah pertimbangkan untuk menggunakan sistem gas NOS.

Google ads
Back to top button