Buletin

RANGE ROVER EVOQUE BAHARU DATANG SEBAGAI EV MENJELANG 2027

Range Rover Evoque bakal memasuki fasa baharu apabila model generasi ketiga diperkenalkan sekitar penghujung dekad ini, kali ini dengan penekanan utama pada pemanduan elektrik sepenuhnya.

Ia juga menjadi pelengkap terakhir kepada barisan model Range Rover yang sedang melalui proses pembaharuan besar-besaran.

Model baharu itu akan dibina berasaskan platform Electrified Modular Architecture (EMA) milik JLR, iaitu asas baharu yang pertama kali akan digunakan pada Range Rover Velar generasi seterusnya tahun hadapan.

Seperti Velar baharu, Evoque generasi ketiga dijangka memulakan jualan sebagai model elektrik sepenuhnya (EV), satu langkah penting untuk memastikan kelangsungan nama Evoque dalam tempoh jangka panjang.

Walaupun Velar dilaporkan akan mengalami perubahan kedudukan yang lebih ketara, Evoque dijangka kekal sebagai model paling ‘mesra pembeli’ dalam keluarga Range Rover.

Status ini bukan tanpa alasan. Di UK, Evoque merupakan model paling laris JLR sejak awal dekad ini, merangkumi hampir 40 peratus daripada keseluruhan jualan Range Rover.

Idea mengenai Evoque elektrik sebenarnya telah disuarakan sejak JLR memperkenalkan strategi Reimagine pada tahun 2021. Namun, model produksi dijangka tidak muncul sebelum akhir 2027, dengan penyerahan unit kepada pelanggan hanya bermula sekitar 2028, kira-kira 10 tahun selepas generasi semasa diperkenalkan.

Model ini bakal tiba selepas tempoh yang sibuk bagi jenama tersebut, termasuk pelancaran Range Rover Electric pada separuh pertama 2026, diikuti Velar baharu dan Range Rover Sport EV pada awal 2027.

Platform EMA: Direka Untuk Mobiliti Elektrik

Evoque baharu akan berkongsi platform EMA dengan Velar generasi seterusnya serta model baharu yang dikenali sebagai “Defender Sport”. Ketiga-tiga model itu akan dikeluarkan di Kilang JLR Halewood, Merseyside, lokasi sama yang kini memasang Evoque sedia ada.

Asas EMA menggunakan seni bina 800V yang menyokong motor elektrik buatan dalaman JLR serta pek bateri keluaran kilang Agratas milik Tata di Somerset, yang dijadualkan mula beroperasi pada 2027.

Walaupun butiran prestasi masih disimpan rapi, Evoque elektrik baharu perlu menawarkan jarak pemanduan kompetitif, khususnya apabila pesaing seperti Mercedes-Benz GLA EV dijangka mampu melepasi 720 km. Sistem 800V turut membolehkan pengecasan pantas.

Kemungkinan Varian Hibrid

Walaupun fokus utama adalah EV, JLR masih mempertimbangkan penggunaan tren kuasa hibrid atau range-extender selari dengan lonjakan permintaan global terhadap PHEV. EMA sememangnya direka untuk menerima sistem petrol kecil sebagai penambah jarak, sekiranya perlu.

Langkah kerajaan UK melanjutkan tempoh jualan kereta hibrid baharu sehingga 2035 juga boleh mempengaruhi keputusan akhir.

Jika strategi pelbagai tren kuasa dianggap terlalu mahal, JLR mungkin memilih untuk menjadikan Evoque generasi baharu EV sepenuhnya, sambil mengekalkan Evoque generasi kedua sebagai pilihan pembakaran dalaman dan hibrid.

Dari segi visual, Evoque baharu dikatakan mengekalkan identiti generasi semasa namun dengan evolusi reka bentuk yang lebih matang, sama seperti perubahan antara generasi pertama dan kedua.

Walau bagaimanapun, penggunaan platform EMA yang berlantai rata bakal memberikan kelebihan besar pada ruang dalaman, terutama ruang kaki penumpang belakang serta kapasiti but yang ketika ini berada pada 591 liter.

Kabinnya pula dijangka menampilkan material premium dan tata atur minimalis berasaskan teknologi moden, termasuk sistem bantuan pemandu dan sambungan awan yang lebih canggih, setanding dengan apa yang ditawarkan Audi, BMW dan Mercedes.

Google ads
Back to top button