RANGE ROVER EVOQUE LANCAR JUN 2020. DILENGKAPI SISTEM AI, KEKALKAN REKA BENTUK MENARIK
Jaguar Land Rover Malaysia bakal melancarkan SUV kompak mewah Range Rover Evoque 2020 pada awal Jun depan. Evoque generasi baharu tampil dengan bahasa rekaan, teknologi bantuan pemandu termaju, sistem pacuan off-road dan kepintaran buatan (AI) termaju.
Mengekalkan reka bentuknya menarik, evolusi bahagian luaran jentera itu diserlahkan pada siluet seperti sebuah coupe.
Ia hadir dengan lampu utama LED nipis dan lampu belakang baharu. Sementara hendal pintu yang tersembunyi itu meningkatkan lagi daya estetikanya.
Antara ciri baharu yang ditawarkan ialah cermin pandang belakang ‘ClearSight Rear View Mirror’. Ia akan bertukar menjadi skrin video HD apabila diaktifkan.
Posisinya boleh dialih jika pandangan terlindung oleh barangan yang besar. Skrin tersebut menawarkan pandangan 50 darjah dan jelas dilihat dalam keadaan gelap.
Teknologi ‘ClearSight Ground View’ pula membolehkan pemandu melihat bahagian hadapan hud kenderaan apabila memaparkan pandangan 180 darjah pada skrin. Ciri ini sangat berguna terutama ketika berada di tempat yang sempit.
Evoque menjadi model Lan Rover terbaharu yang dipasang demham ciri Smart Setting, satu sistem yang menggunakan algoritma kepintaran buatan untuk mengetahui kecenderungan pemandu.
Sistem itu kemudian akan mengaplikasikan kecenderungan pemandu dalam membuat tetapan media dan sebagainya.
Smart Setting yang menawarkan lapan profail juga mengecam pemandu daripada kunci dan telefon pintar. Ia kemudian menala kedudukan kerusi dan stereng. Selepas beberapa perjalanan, Evoque akan mengingati talaan pendingin hawa, media dan nombor yang sering dihubungi.
Pemandu turut dihidangkan dengan sistem infohibur Land Rover InControl ® Touch Pro Duo yang menggabungkan dua unit skrin kaca berdefinisi tinggi bersaiz 10 inci serya paparan multi info 12.4 inci.
SUV itu tidak berkompromi dari segi ruang kargo dengan keluasannya boleh ditingkatkan menjadi 1,383 litet apabila tempat duduk baris kedua berkonfigurasi 40:20:40 itu dilipat. Aspek keselamatan ditambah dengan ciri Lane Keep Assist, Driver Condition Monitor dan sebagainya.
Evoque dikuasakan oleh enjin petrol Ingenium 2.0l turbo yang dipadankan bersama kotak gear 9-kelajuan automatik.
Perincian harga, varian dan spesifikasi mengenai SUV mewah ini akan dikongsi ketika pelancarannya nanti. Maklumat lanjut mengenai kenderaan yang ditawarkan oleh Jaguar Land Rover Malaysia, sila layari laman web: www.landrover.com.my