JAGUAR LAND ROVER MENANG KES – KLON EVOQUE DIARAH HENTIKAN PRODUKSI SERTA-MERTA
Selepas tiga tahun naik turun mahkamah, Jaguar Land Rover akhirnya boleh menarik nafas lega dan tersenyum.
Ini kerana pengeluar kenderaan mewah itu menang kes terhadap Landwind dan klon Evoque yang dikenali sebagai X7 (nasib baik bukan X70).
Mahkamah daerah Beijing Chaoyang mendapati lima reka bentuk unik Range Rover Evoque telah ditiru bulat-bulat oleh Jiangling, pemilik Landwind yang bertanggungjawab menghasilkan X7.
Ia kemudian mengarahkan syarikat China tersebut untuk menghentikan produksi dan jualan X7 berkuat-kuasa serta-merta. Jiangling juga diarah membayar ganti rugi kepada Jaguar Land Rover.
Jaguar Land Rover menyifatkan kemenangan itu sebagai pertama seumpamanya dan dapat memberi sokongan kepada syarikat asing dalam industri automotif China.
“Kami sangat mengalu-alukan keputusan daripada mahkamah ini. Ia nyata mengukuhkan lagi keyakinan kami untuk melabur dan membuktikan keadilan mengenai hakcipta di China.
“Keputusan ini menjadi petanda jelas undang-undang telah dilaksanakan secara sewajarnya untuk melindungi dan mempertahankan hak pengguna.
“Seterusnya mengelakkan mereka daripada keliru. Ia juga melindungi pelaburan kami dari segi reka bentuk dan inovasi,” kata Ketua Undang-undang Jaguar Land Rover, Keith Benjamin.
Landwind mula diperkenalkan kepada umum sewaktu acara Guangzhou Motor Show 2015. Apabila dilancarkan di China, ia dijual pada harga tiga kali lebih murah berbanding Evoque.
Klon Evoque itu dilihat cukup popular dalam kalangan pengguna di China.