
APA ITU ‘LIMP MODE’ DAN KENAPA IA BERLAKU – MOD KESELAMATAN KE MOD NAK MAKAN DUIT?
Pernah tak semasa memandu kereta anda tiba-tiba terasa berat dan tukaran gear tidak berlaku bagi kereta automatik. Ia diikuti oleh lampu check engine yang menyala dan mungkin juga beberapa lampu amaran lain. Jangan bimbang dan jangan takut kerana kemungkinan besar kereta anda sedang beroperasi dengan ‘limp mode’ ataupun dalam masa kita ‘mod lumpuh’. Patut la bergerak pun perlahan je.

Ia merupakan salah satu ciri keselamatan kenderaan moden sama seperti sistem amaran tukaran lorong (lane departure) ataupun sistem ABS itu sendiri. Ia berfungsi untuk menyelamatkan anda dan juga kereta anda dari kerosakan yang lebih serius.
Sebenarnya tak ramai di antara kita yang sedar tentang fungsi limp mode kecuali jika korang macam abang yang mempunyai sebuah kereta yang selalu meragam. Menurut JD Power ia merupakan satu ciri keselamatan yang bukan hanya memperlahankan kenderaan anda tapi juga mematikan sesetengah fungsi kenderaan yang kurang penting.

Satu lagi ciri lain ialah tukaran gear tidak akan berlaku dan anda perlu bergerak dengan kelajuan rendah dalam gear rendah. Fungsi sebenar mod ini ialah untuk menyelamatkan enjin sebaik sistem mengesan sebarang kerosakan dalam sistem enjin anda.
Antara punca limp mode diaktifkan ialah berlakunya masalah pada sistem transmisi, pendawaian, kerosakan sensor, kekurangan bendalir atau cecair dan masala pada enjin itu sendiri.
Ada yang memanggilnya ‘limp mode home’ kerana ia sepatutnya memberikan sedikit masa kepada pemandu untuk memandu kenderaan tersebut pulang ke rumah ataupun ke bengkel berkenaan. Jangan sesekali mengabaikan limp mode kalau anda sayangkan kereta anda. Hantar segera kepada mekanik untuk pemeriksaan.
Macam mana limp mode boleh dibatalkan? Satu daripadanya ialah memperbaiki kenderaan anda dan meminta mekanik supaya melakukan reset pada kod-kod kerosakan yang keluar. Satu lagi cara ialah dengan mematikan enjin dan mencabut kunci penghidup untuk sementara waktu sebelum menghidupkannya kembali.
Ia sebenarnya bergantung kepada jenis-jenis kereta dan sepatutnya kenderaan tersebut mesti diperiksa dan diperbaiki sebelum mula digunakan kembali. Apa pun jika berlaku limp mode jangan sesekali panik dan teruskan memandu dengan perlahan untuk pulang ke rumah.



