Buletin

RENAULT MEGANE GT dCI 165 Auto EDC DIPERKENAL – 165HP, 380NM!

Jenama Renault mungkin kurang popular dikalangan pelanggan umum di negara kita tetapi itu tidak bermakna TC Euro Cars selaku pengedar jenama Perancis itu mengambil lewa tugas mereka.

Cuba lihat laman web Renault Malaysia, produk yang ditawarkan bermula dari kereta elektrik hinggalah kepada Renault Megane R.S. 265. Ia agak lengkap sebenarnya, dari kereta kompak hingga kepada SUV dan kereta berprestasi.

Malah, nadi kuasa yang digunakan pada model Renault sebenarnya versi yang sama seperti digunakan pada kenderaan Nissan. Sebagai contoh Renault Koleos yang menggunakan enjin Nissan X-Trail 2.5.

Namun ada satu model yang mencuri perhatian iaitu Renault Clio GT Line. Ia adalah alternatif yang baik buat pelanggan yang merasakan Megane R.S terlalu hardcore.

Clio GT Line dikuasakan oleh enjin 1.2 liter turbo berkuasa 120 PS dengan tork 190 Nm. Harganya bermula dari RM118,000.00

GT Line sebenarnya adalah varian pertengahan dan dilihat lebih sesuai dengan poket pasaran umum. Ia dipasarkan di antara model biasa dan berprestasi.

Di United Kingdom, Renault telah melancarkan varian baharu untuk Mégane iaitu GT dCi 165 Auto EDC. Varian itu ditawarkan melalui dua jenis bentuk badan iaitu hatchback dan Sport Tourer (wagon). Menarik tentang varian baru itu ialah enjin 1.6 liter turbo berkembar yang dibekalkan adalah paling berkuasa dalam pasaran hari ini.

Berapakah kuasanya?

  • 165hp
  • 380Nm
  • 0 – 100 km/j – 8.8 saat
  • Kelajuan maksimum 214 km/j

Pilihan terbaru dalam varian GT itu sebenarnya bukan dibuat oleh kumpulan biasa tetapi dibangunkan serta dijuruterakan oleh Renault Sport – bahagian yang sama terlibat dalam Mégane R.S baharu. Varian itu dikatakan sesuai untuk pemandu yang mahu menikmati tujahan pada putaran enjin rendah dan juga prestasi dalam pelbagai keadaan.

BACA: CARLOS GHOSN: LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT-NISSAN

Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi berkembar enam kelajuan Renault atau dipanggil Efficient Dual-Clutch (ED).

Selain daripada enjin, keistimewaan Mégane GT dCi 165 Auto EDC terletak pada suspensi yang dibangunkan oleh Renault Sport. Ia dilengkapi teknologi 4Control chassis with four-wheel steering untuk pengendalian mantap di jalan berliku.

Sistem itu berfungsi bila mana pemandu memilih mod Sport dan berada dibawah kelajuan 80 km/j atau 60 km/j pada mod pemanduan lain, tayar depan dan belakang akan membelok mengikut arah berlawanan. Di belakang ia berpusing sehingga 2.7 darjah seterusnya memberi lagak seolah kereta dengan jarak roda yang lebih pendek.

Pada kelajuan tinggi pula, kedua-dua bahagian roda depan dan belakang berpusing mengikut arah yang sama dan sehingga satu darjah di belakang untuk lebih kestabilan.

Sistem 4Control ini begitu pintar dimana ia mengira darjah roda belakang sebanyak 100 kali dalam sesaat dan mengubahnya bila perlu.

Selain itu, spring, damper dan palang anti oleng juga ditala oleh Renault Sport.

Untuk pasaran tempatan, masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada TC Euro Cars akan membawa masuk Renault Mégane baharu atau tidak.

Atau mungkin Mégane R.S 265 bakal digantikan dengan Mégane R.S baharu nanti?

Di United Kingdom, Renault Mégane GT dCi 165 Auto EDC dipasarkan pada harga £27,740 atau RM 152,319.94.

BACA: PENCABAR TYPE R DARI EROPAH – RENAULT MEGANE RS KINI DENGAN MANUAL DAN KLAC BERKEMBAR

BACA: RENAULT ESPACE F1 – MPV TERPANTAS DI DUNIA!

Google ads
Back to top button