Buletin

PENCABAR TYPE R DARI EROPAH – RENAULT MEGANE RS KINI DENGAN MANUAL DAN KLAC BERKEMBAR

Jika ada sebuah kereta yang mampu mencabar penguasaan Jepun dalam kategori kereta sport pacuan hadapan Civic Type R, ianya ialah Renault Megane. Di Eropah, ini merupakan kereta yang sangat popular di litar lumba dan jadi kegilaan anak muda melakukan pelbagai modifikasi.

Namun seperti biasa di Asia, bukanlah orang peduli sangat pun tentang kereta ni. Namun, Megane RS pernah popular di Malaysia berikutan harganya yang agak munasabah untuk sebuah kereta sukan keluaran Eropah. Varian seperti Trophy, Cup dan RS adalah antara versi yang boleh dimiliki pada harga kereta Jepun.

BACA: RENAULT MEGANE RS TROPHY TERHAD 10 UNIT SAHAJA

Lebih penting, ia masih ada pilihan transmisi manual. Model 2018 akan tiba bila-bila masa dari sekarang. Renault sendiri akan melancarkannya pada pusingan Formula Satu di Monaco. Pelumba pasukan Formula Satu Renault, Nico Hülkenberg kelihatan sudah “beraksi” di sisi Megane RS yang dibalut pelekat penyamaran.

Pertama kali diperkenalkan pada 2004, Megane RS meninggalkan legasi kereta hatchback kompak yang sangat berpengaruh. Berbanding kereta sport kompak Eropah seperti VW Golf R dan Ford Focus RS yang dipacu sistem pacuan 4WD, Megane RS baharu akan mengekalkan konfigurasi pacuan roda hadapannya.

Model baharu ini akan dilancarkan serentak dengan sambutan ulangtahun ke 40 tahun penglibatan Renault dalam Formula Satu.

Tiada spesifikasi didedahkan. Namun gosip meluas mendakwa model ini akan dikuasakan oleh enjin 1.8 liter turbo dengan penghasilan sekitar 300 kuasa kuda.

Transmisi manual akan tetap jadi pilihan utama.  Jika itu tidak cukup, beberapa media Eropah mendapat maklumat model baharu ini akan dipadankan dengan pilihan transmisi automatik klac berkembar.

Ia mungkin kontras dengan falsafah Renault Megane RS sendiri. Namun kemungkinan itu tidak dapat diketepikan memandangkan kereta ini semakin popular. Jadi,  memberi pilihan transmisi klac berkembar adalah tindakan dari sudut perniagaan yang cukup bijak.

GALERI
Google ads
Back to top button