RENAULT MEGANE R.S. 300 TROPHY, ENJIN 1.8 TURBO 300HP 400 NM
Suatu masa dahulu peminat kereta berprestasi di negara kita dihidangkan dengan pelbagai model menarik daripada Jepun, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis.
Semuanya boleh dibeli daripada bilik pameran rasmi dengan waranti pengilang. Anda boleh pilih Mitsubishi Evolution X, Subaru WRX, Honda Civic Type R, Ford Focus ST, Volkswagen Scirocco/Golf R dan Renault Megane RS.
Setiap model mempunyai peminat tersendiri dan kini harga terpakai model di atas boleh dikatakan dalam jangkauan ramai.
Kecuali Mitsubishi dan Ford, kesemua pengedar tempatan yang disebut di atas mempunyai model susulan dan ada juga tampil sederhana. Misalnya Renault Malaysia yang hadir dengan Megane GT berkuasa 205 PS dan 280 Nm.
Angka tersebut nampak sederhana berbanding pelbagai edisi Megane RS yang pernah dijual di negara kita.
Di luar negara Renault Mégane R.S. seperti dibayangi Honda Civic Type R dan model prestasi lain daripada Volkswagen dan Mercedes-Benz.
Model yang baru ditawarkan ini hadir dengan pakej istimewa bagi mencabar pesaing lain. Mégane R.S. 300 Trophy ditingkatkan kuasa kepada 300hp menjadikannya model produksi Renault Sport paling berkuasa.
Mégane R.S. 300 Trophy ini juga dikeluarkan bagi menyambut ulang tahun ke-15 Renault Mégane R.S. Model ini adalah tambahan kepada Mégane R.S. 280 yang dilancarkan di United Kingdom pada Mei lalu dan tampil lebih hardcore.
Berikut ialah ciri-ciri pada Mégane R.S. 300 Trophy:
- Varian produksi Renault Sport paling berkuasa pernah dihasilkan
- Kuasa daripada enjin 1.8 Turbo 280hp Mégane R.S. ditingkatkan kepada 300hp
- Dua pilihan transmisi iaitu manual (390Nm) dan EDC automatic (klac berkembar automatik)
- Turbo dengan sistem ball bearing seramik baharu yang mengurangkan geseran
- Peredam ekzos dilengkapi injap mekanikal yang membolehkan pelarasan bunyi
- Standard dengan casis Cup dan pilihan untuk model R.S. 280
- Casis Cup didatangkan dengan LSD mekanikal Torsen®, penyerap hentak 25 peratus lebih keras, spring 30 peratus lebih kenyal dan bar anti oleng 10 peratus lebih tegar
- Brek cakera 355mm dengan dua material dan angkup brek Brembo®
- Roda aloi 19 inci Jerez dengan berat 2kg lebih ringan untuk satu unit berbanding R.S 280
- Kerusi pilihan Recaro dengan balutan Alcantara® 20mm lebih rendah
Renault Mégane R.S. 300 Trophy manual enam kelajuan dipasarkan pada harga GBP 31,810 (RM 167,676) manakala versi EDC enam kelajuan pula berharga GBP 33,510 (RM 176,660).
*1 GBP = RM 5.27
BACA: RENAULT MEGANE RS 265, KENANGAN 2013 – RM RM234,526
BACA : RENAULT DAPATI IMBUHAN CARLOS GHOSN TIADA SALAH PUN, JAWATAN KEKAL