Pandu Uji

RENAULT MEGANE RS 265

Baru sahaja dilancarkan seminggu sebelum Tahun Baru Cina lalu, hot hatch daripada Renault itu sememangnya menjadi pencabar sebenar buat  model Ford Focus ST dan Volkswagen Golf R.

Renault Megane RS 265 Cup dilancarkan oleh pengedar tunggal jenama Renault di Malaysia, TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TC Euro Cars). Ia merupakan pengganti kepada model Renault Megane RS 250 Cup yang telahpun menerima pelbagai pengiktirafan di seluruh dunia. Jentera itu dikatakan telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam segmen hot hatch sebaik sahaja diperkenalkan pada tahun 2010.

Keupayaan rangkaian model Megane RS banyak dibantu oleh unit enjin dengan pengecas turbo penuh kuasa itu. Enjin tersebut kemudian dipadankan dengan casis Cup yang memang terkenal dengan aspek kestabilannya.

Renault_9579_global_en

Hasilnya, ia boleh menjadi jentera yang hebat jika beraksi di atas litar dan cukup bagus untuk digunakan sebagai kenderaan harian. Apa pun, jentera itu bukan untuk semua orang. Bukan sahaja kerana harganya yang mahal, tetapi Renault Megane versi RS memang direka untuk mereka yang tahu menghargai keseronokan memandu.

Megane RS 265 Cup memiliki DNA yang sama dengan Megane RS 250 Cup. Cuma, anda boleh harapkan beberapa penambahbaikan pada sebuah jentera yang sudah terbukti bagus.

Tidak banyak jentera yang boleh menggugat pencapaian prestasi Megane RS, walaupun daripada jenama lebih senior. Tampil dengan warna signatur kuning (Sirius Yellow) ia sebenarnya kereta berpacuan roda hadapan paling pantas di litar Nurburging, Jerman.

Renault_28767_global_en

Catatan masa 8 minit 8 saat itu dibuat oleh Megane RS 265 Trophy. Jentera Megane RS turut menyerlah dalam sukan  bermotor apabila memenangi Kejohanan Rali Jerman dan Belgium baru-baru ini.

Di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Megane RS 265 Cup mencatat rekod 2 minit 41 saatt untuk sebuah jentera produksi pacuan roda hadapan.

“Sama seperti Megane RS 250, pengendalian Megane RS 265 seakan-akan jentera pacuan roda belakang, tetapi dengan daya yang lebih progresif. Ia membantu anda untuk masuk ke selekoh dengan lebih pantas dan mendapat kuasa dalam tempoh lebih pendek. Kereta ini memang terbaik,” kata bekas pemandu pasukan A1-GP Singapura, Denis Lian.

Jentera itu dijana oleh unit enjin 2.0 liter dengan pengecas turbo. Ia berupaya menghasilkan kuasa sehingga 265hp (bertambah 15hp berbanding sebelum ini). Torknya, 360Nm (naik 20Nm) yang boleh diperoleh dalam lengkuk rev lebih luas iaitu sekitar 3,000 hingga 5,000rpm.

Dengan nisbah berat kuasa 5.09 kilogram bagi setiap hp, pakej kuasa jentera itu memang mengagumkan. Maka tidak hairanlah jika tempoh untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) memerlukan enam saat sahaja.

Renault_9578_global_en

Kelajuan tersebut diseimbangkan dengan sistem brek berkuasa jenama Brembo yang terdiri daripada cakera ventilasi bersaiz 340 milimeter (mm), paling besar dalam kelasnya.

Pasukan jurutera Renault juga bekerja keras untuk menala casis Cup dan sistem Limited Slip Differential (LSD), demi menawarkan kuasa cengkaman terbaik. Ini bagi mememastikan jentera dapat mengambil selekoh tajam dengan yakin.

Penjimatan bahan api turut dipertingkatkan. Renault mendakwa Megane RS 265 Cup hanya memerlukan 8.2 liter untuk setiap 100km.

Sekali pandang, mungkin susah untuk kita membezakan model terbaharu dengan yang lama. Model baharu menggunakan ‘sirip’ seperti jentera F1 yang sememangnya sinonim dengan karekteristik model-model Renault Sport.

Bahagian hadapannya kini tampil dengan dua baris lampu LED dan perumah lampu utama yang digelapkan. Rim juga diganti dengan rim aloi “Tibor” bersaiz 18 inci berwarna hitam yang elegan.

Renault_31106_global_en

Ruang kabin Megane RS 265 Cup tidak banyak berubah. Antara yang ditambah ialah kemasan hitam pada konsol tengah dan corong pendingin hawa. Panel pintu diberi efek kemasan karbon. Tempat duduk jenis bucket Recaro pula menambah rasa sporty ketika berada di dalam kokpit tersebut.

Pada majlis yang sama TC Euro Cars turut memperkenalkan model edisi terhad Megane RS Red Bull Racing RB7. Tampil dengan warna hitam berkilat (Etoile black) dan calitan kuning pada blade bumpar hadapan, cermin sisi dan peresap udara di bahagian belakang. Bumbungnya pula dihiasi corak bendera pelepas (chequered flag) berwarna hitam dan putih.

Bagi menambah perbezaannya, pelekat logo rasmi Red Bull Racing ditampal di bahagian bawah pintu pemandu. Lebih istimewa, Megane RS Red Bull Racing RB7. untuk pasaran Malaysia turut dilekatkan dengan plak khas yang ditandatangani oleh juara dunia F1 tiga tahun berturut-turut, Sebastian Vettel.

Renault_33078_global_en

Sebagai tanda penghargaan kepada pemilik jentera Renault Sport, TC Euro Cars mengumumkan tarikh RS Track Days untuk tahun 2013. Kelab pemilik yang dikenali sebagai Renault Sport Collectif turut dilancarkan.

Megane RS 265 Cup ditawarkan pada harga RM234,526 (di atas jalan tanpa insurans), bertambah sebanyak sekitar RM5,000 berbanding Megane RS 250. Sementara Megane RS Red Bull Racing RB7 pula boleh anda miliki pada harga RM243,292.
[hr]

Spesifikasi Megane RS 265 Cup

Enjin: 2.o liter dengan pengecas turbo

Kuasa maksimum: 265hp

Tork maksimum: 360Nm

Kelajuan maksimum: 250km/j

Sistem suspensi: Renault Sport Perforhub
[hr]

IMG_5037_phixrIMG_5130_phixrIMG_5150_phixrMegane RS265 Launch-44mekanika - megane (slider) (1)Renault_9575_global_enRenault_9580_global_enRenault_9581_global_enRenault_9587_global_enRenault_9600_global_enRenault_31111_global_enRenault_31614_global_enRenault_31617_global_enRenault_33081_global_en

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button