Motosikal

SUPERMOPED AFAZ 150 DALAM PEMBANGUNAN, GUNA ENJIN SUZUKI GSX-R150

Baru-baru ini pihak AFAZ telah menjemput pengamal media bagi berkongsi perkembangan terbaru mengenai supermoped sulung jenama motosikal nasional kedua itu. 

Melalui program tersebut, beberapa maklumat berjaya kami perolehi termasuk melihat rupa supermoped tersebut meskipun hanya merangkumi kerangka utama, enjin, tayar depan dan  belakang. 

Namun begitu, gambar model prototaip berkenaan tidak dapat dikongsikan ekoran pihak AFAZ tidak membenarkan sebarang gambar atau video diambil. 

Bagaimanapun, ini beberapa maklumat yang kami berjaya perolehi berdasarkan sesi bersama media itu. 

Pertamanya, supermoped AFAZ akan mengguna pakai enjin Suzuki GSX-R150 yang bersesaran satu silinder 147cc DOHC. Atas kertas, enjin tersebut berupaya menjana 19hp pada 10,500rpm dan 14Nm pada 9,000rpm. Namun, pihak AFAZ memaklumkan bahawa enjin itu akan ditala semula. 

Casis yang dibangunkan adalah serba baharu dengan bahagian subframe yang terdedah dan akan didatangkan dengan warna tersendiri. Tangki bahan api pula berkapasiti 5.8L.

Menariknya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries (AMI(, memaklumkan bahawa supermoped 150cc ini akan ditempatkan sebagai sebuah supermoped premium dengan harga setanding Yamaha Y16ZR. 

Tidak cukup dengan itu, kami dimaklumkan bahawa penunggang boleh “berkomunikasi” dengan motosikal berkenaan sekaligus memberi bayangan penggunaan skrin TFT dengan fungsi voice command. 

Memandangkan supermoped tersebut diangkat sebagai premium, kami turut menjangkakan fungsi seperti ABS dwi-saluran, pencahayaan LED, fork USD dan cakera brek depan dan belakang. 

Untuk rekod, supermoped AFAZ ini dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan dengan kerjasama AMITEC yang berpangkalan di Sungai Petani, Kedah. 

AMITEC merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkaitan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan merupakan 100 peratus anak syarikat AMI. Sejak penubuhan pada tahun 2022, AMITEC bertanggunjawab dalam pembangunan motosikal AFAZ, MODA dan SUZUKI. 

Google ads
Back to top button