Buletin

ROLLS-ROYCE SPECTRE 2023 – KERETA ELEKTRIK PERTAMA RR

Rolls-Royce kini memasuki era kenderaan elektrik menerusi pelancaran rasmi model EV pertama mereka, Spectre.

Dengan adanya Spectre, Rolls-Royce telah mencipta satu segmen automotif serba baharu iaitu super coupe elektrik ultra mewah, di mana ia turut bertindak sebagai pengganti spiritual kepada model Phantom Coupe.

Rekaan luaran Spectre ini tidak lari jauh daripada model-model Rolls-Royce yang lain, namun ia menampilkan rekaan jeriji yang paling lebar pernah dimuatkan dalam sejarah RR.

Gril hadapan itu turut didatangkan dengan sistem pencahayaan yang terdiri daripada 22 unit LED, dan dihiasi dengan figura Spirit of Ecstasy dengan rekaan yang lebih aerodinamik.

Ruang kabin Spectre pula merupakan kabin yang paling berteknologi tinggi pernah dihasilkan oleh Rolls-Royce.

Sorotan utama sudah pasti ciri Starlight Doors yang menampilkan 4,796 titik bercahaya pada panel pintu tidak termasuk unit yang terdapat pada bahagian headliner.

Rolls-Royce Spectre dibangunkan menggunakan platform Architecture of Luxury, di mana ia berupaya menjana kuasa setinggi 577 hp dan daya kilas 900 Nm berdasarkan data awal yang diperoleh.

Ia mampu bergerak sejauh 418 km untuk sekali cas penuh (data EPA), sementara pecutan 0-96 km/j pula adalah sekitar 4.4 saat.

Selain itu, Spectre juga turut menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih mewah, terima kasih kepada sistem suspensi Planar yang mampu mencantum atau memutuskan sambungan bar anti oleng pada setiap tayar bergantung kepada kondisi pemanduan.

Spectre hanya akan muncul ke tangan pemilik masing-masing pada suku keempat 2023.

Google ads
Back to top button