
TOYOTA C-HR 2024 DEBUT DI EROPAH, KUASA SEHINGGA 223 HP
Generasi kedua C-HR mula diperlihatkan pada Disember 2022 dalam bentuk Prologue Concept, dan bentuk produksi sebenar telah pun muncul baru-baru ini.
Berbanding model terdahulu, C-HR 2024 membawakan profil ‘super coupe’, dengan rekaan luaran yang jauh lebih sporti dan agresif, termasuklah rekaan hadapan ‘hammerhead’ yang wujud pada model Prius baharu.

Ia juga kini lebih praktikal, di mana pemegang pintu belakang kini berada di posisi yang mudah dicapai.
Dari segi kuasa, C-HR 2024 boleh didapati hanya dalam pilihan trenkuasa hibrid sahaja, dan buat pertama kalinya ditawarkan dengan trenkuasa plug-in hybrid.
C-HR PHEV membawakan enjin 2.0 liter yang digandingkan dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa 223 hp, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.
Pek bateri pula membenarkan jarak gerak elektrik sejauh 66 km, dibantu dengan teknologi geofencing yang akan mengesan zon emisi rendah, dan terus menukar mod pemanduan kepada mod EV.

Terdapat dua pilihan enjin untuk versi hibrid pengecasan kendiri, iaitu enjin 1.8 liter (138 hp), atau enjin 2.0 liter (194 hp) dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda.
Ruang kabin C-HR baharu ini nyata lebih sofistikated dengan kelengkapan skrin 12.3 inci berkembar, sistem kunci digital, fungsi parking jarak jauh, serta pakej keselamatan termaju yang merangkumi pemanduan bebas tangan di dalam kesesakan trafik.

Untuk pasaran Eropah, terdapat versi GR Sport Premiere Edition yang menambah kelengkapan seperti jeriji unik, rim 20 inci, lencana GR, tempat duduk sports, serta kelengkapan dalaman seperti paparan head-up dan sistem audio JBL.
Sementara versi High Premiere Edition pula tidak mendapat kemasan GR yang disebutkan tadi, namun didatangkan dengan tempat duduk kulit berliang dan bumbung panorama.
Toyota C-HR kini sudah boleh ditempah di Eropah, dengan harga jualan dianggarkan bermula dari €35,000 (RM178,579).









