Buletin

MITSUBISHI XFC CONCEPT – BAKAL JADI ASX DI PASARAN ASEAN?

Bulan lalu, Mitsubishi telah melancarkan SUV segmen B ASX generasi baharu yang sebenarnya merupakan versi tukar lencana daripada model Renault Captur.

Namun untuk pasaran Asean, Mitsubishi memperlihatkan sebuah model konsep yang bakal diproduksikan kelak, iaitu XFC Concept.

Dari segi luaran, XFC Concept menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang lebih moden, dengan rekaan jeriji yang besar dengan elemen rekaan sarang lebah, unit lampu berbentuk T bersambung dengan lampu DRL pada bahagian bawah, serta lampu kabus berbentuk heksagon.

Unit lampu belakang juga turut menampillkan bentuk T yang sama, serta corong ekzos dengan reka bentuk sarang lebah yang bercahaya.

Ruang dalaman pula mengintegrasikan skrin paparan berkembar yang tercantum, butang kawalan kapasitif pada konsol tengah, tombol gear jenis terapung, serta elemen sarang lebah yang boleh dilihat pada roda stereng, kawalan iklim dan panel pintu.

Mitsubishi mendatangkan kemasan warna cerah pada bahagian papan pemuka, diikuti warna kuning pada tempat duduk.

Spesifikasi teknikal belum didedahkan buat masa ini, namun Mitsubishi bakal menawarkan beberapa mod pemanduan termasuklah mod Wet yang pertama kali diperkenalkan pada kereta-kereta Mitsubishi.

XFC Concept ini dijangka akan mula dijual di pasaran ASEAN bermula tahun fiskal 2023.

Google ads
Back to top button