
KEJUTKAN JIRAN DENGAN KAWALAN REV DALAM POKET ANDA – UNTUK PEMILIK MUKA TEMBOK SAHAJA
Ford Mustang 2023 telah dilancarkan bulan September tahun lepas. Walaupun masih ditawarkan dengan pilihan enjin yang sama (2.3 liter Ecoboost dan 5.0 V8) tapi kali ini ia sarat dengan teknologi yang terbaru di pasaran. Antaranya ialah papan pemuka dengan paparan berganda lengkap dengan sistem infotainment SYNC4, perisian Unreal Engine dan tambahan ciri terbaru yang dinamakan Remote Rev.

Remote Rev bakal dilengkapkan pada model 5.0 V8 dengan transmisi automatik dan 2.3 EcoBoost yang dilengkapkan dengan Ford Active Exhaust.
Sama maksud dengan namanya, Remote Rev bermaksud ada boleh mengawal pendikit menggunakan kunci kawalan jauh kereta anda. Ingat korang boleh buka bonet dan hidupkan enjin tu hebat sangat? Fungsi ni lagi hebat sebab kalau selalu diguna dijamin korang akan bergaduh dengan jiran sebelah rumah.

Macam nak guna fungsi Remote Rev ni? Dah tentu la kena hidupkan enjin dahulu sama ada menggunakan kunci kawalan jauh ataupun guna cara manual. Tak ada kunci pun korang boleh guna aplikasi FordPass pada telefon pintar. Sebab enjin mencapai suhu operasi yang optima, sistem ini boleh digunakan.
Caranya ialah dengan menekan butang lock dan unlock secara berturutan dalam masa tiga saat dan enjin akan berputar mencecah 2,000rpm menandakan sistem tersebut sudah diaktifkan. Best kan?
Kalau korang tekan lagi butang lock dan unlock lagi, putaran enjin akan ditingkatkan 3 kali lagi sehingga mencecah 5,000rpm. Sudah tentu la ia tidak boleh melepasi garisan merah RPM untuk keselamatan. Selepas 3 kali, sistem akan masuk ke mod standby tapi boleh je korang nak aktifkan lagi sampai berapa kali sekali pun asalkan jangan sampai jiran sebelah panggil polis.
Kami rasa la kan? Fungsi ni cuma menarik pada minggu pertama beli kereta dan semasa bawa kereta ke pertemuan dengan bakal-bakal downline. Bayangkan lepas je korang berjaya racun fikiran bakal downline yang malang tu. Korang main-mainkan pendikit menggunakan kunci kawalan jauh sambil korek hidung. Mau terganga mulut mangsa-mangsa korang tu. Pergh… tapi minyak tu isi la banyak-banyak sikit. Naya kalau habis minyak depan orang oo.