Artikel PilihanBuletin

SEGALANYA TENTANG TOYOTA COROLLA ALTIS

Toyota Corolla atau lebih dikenali dengan nama Toyota Corolla Altis di Malaysia merupakan satu jenama yang sangat sinonim dengan tahan lasak, nilai jualan balik yang tinggi, agak membosankan (bagi model lama) dan sangat disukai oleh ayah, ustaz dan cikgu pencen. Salah satu sebabnya ialah kereta ini sangat senyap dan selesa.

Tapi tahukah anda Toyota Corolla ada sejarah yang sangat panjang dan menarik yang tak ramai diketahui umum selain digelakkan kerana memiliki suspensi rasa macam naik sampan. Nah kami bagi rahsia yang ramai tak tahu.

1. Moyang Corolla – moyang kepada Corolla boleh dijejak pada 1955. Ketika itu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Jepun menggariskan beberapa kriteria untuk kereta rakyat Jepun (peoples car) macam Volkswagen bagi rakyat Jerman. Syaratnya ialah halaju purata 60km/j, mesti tahan 100,000km dan berat 400kg.

Kerajaan Jepun akan bagi insentif cukai kepada syarikat yang berjaya menggunakan enjin kurang 500cc. Tapi jurutera mendapati 500cc tak cukup dan gantikan dengan enjin 700cc boxer 2 silinder dengan 28 kuasa kuda dan suspensi double wishbone di depan dan leaf spring di belakang. Bukan calang calang. Maka terhasillah Toyota Publica

2. Persaingan dari Subaru dan Datsun – menyedari kejayaan Toyota menjual kereta murah pada rakyat, pesaing Toyota melancarkan Datsun 1000 dan Subaru 1000 4 silinder. Toyota pula lawan balik dengan model Toyota KE10. Huruf K melambangkan enjin yang digunakan iaitu 1100cc, lebih besar dari pesaingnya dengan 73 kuasa kuda. E10 melambangkan model pertama mereka

3. Asal usul nama Corolla -bila dah berjaya jual di Jepun, Toyota mula mengeksport KE10 ke Amerika. Tapi masalahnya model mereka paling laku di Ameika ialah Toyota Crown. Takkan nak panggil Adik Crown. Tapi Toyota menamakan model KE10 dalam bahasa Latin Corolla bermaksud Little Crown. Tak ada siapa sedar rasanya.

4. Perlumbaan pertama – Corolla menyertai perlumbaan mencabar di Bathurst 1000km dan memenanginya pada tahun 1968 dan 1969 di dalam kelasnya. Boleh tahan power model KE10 ni. Model pertama pun dah cukup lasak.

5. Rekaan dipengaruhi kapal terbang – Ketua Pembangunan Produk Corolla diketuai oleh Tatsuo Hasegawa yang merupakan jururekabentuk kapal terbang perang ketika perang dunia kedua dulu. Dia juga bertindak sebagai ketua dalam projek Toyota Publica dan Toyota Sport 800. Tetsuo menekankan faktor aerodinamik ketika pembangunan Corolla

6. Liftback Model– Corolla E30 Liftback atau Hatchback diperkenalkan dengan varian 3 pintu. Panjang bahagian dalam kereta ini ditentukan oleh papan luncur, bagi memudahkan pemilik memuatkan papan luncur dan bersantai di tepi pantai. Malah kerusi belakang boleh dilipat bagi memudahkan proses penyimpanan papan luncur.

7. Pacuan depan – Generasi 1, 2, 3, dan 4 diberikan konfigurasi enjin depan dengan pacuan tayar belakang (FR). Tapi sebenarnya Eiji Toyoda mahukan konfigurasi enjin depan pacuan tayar depan (FF) semenjak dari model Publica lagi. Akhirnya generasi ke 5 Corolla E80 barulah menerima konfigurasi FF pada tahun 1983. Ia lebih mudah untuk dihasilkan, lebih luas dan ketika hari hujan cengkamannya adalah lebih baik

8. Sprinter – Corolla sebenarnya dipasarkan sebagai sebuah kereta yang mampu milik dan dijual di Toyota Corolla Auto Store. Bagi varian yang lebih sporti dengan pilihan 3 pintu ia dikenali dengan nama Toyota Corolla Sprinter bagi generasi pertama. Generasi seterusnya tidak lagi menggunakan nama Corolla tapi menggunakan nama Sprinter.

9. AE86 – walaupun Corolla E80 generasi ke 5 sudahpun menggunakan konfigurasi FF, kembarnya Sprinter masih menggunakan FR. Ia dikuasakan dengan enjin 4 silinder 1600cc DOHC dengan kod 4A. Cesinya pula menggunakan cesi Corolla kod E. Jadi ia dinamakan AE86 dengan no 6 menunjukkan ia varian ke 6 dalam kumpulan Corolla.

10. Supercaj -Model E90 ditawarkan khusus dengan konfigurasi FF ataupun AWD. Tapi ia juga menawarkan pilihan enjin supercaj 4A-GZE dengan supercharger Roots dan piston yang dihasilkan secara tempaan. Enjin 1600cc ini menghasilkan 163 kuasa kuda dan 210Nm tork. Tapi ramai pemilik memodifikasi enjin ini kepada turbo.

11. E100 – model Corolla ini dihasilkan dengan mengambil inspirasi rekaan kemewahan Lexus tapi di Amerika ia mstilah berharga kurang dari USD 10,000. Ia direka oleh Dr. Akihiko Saito yang merupakan ketua jurutera bagi Corolla Generasi ke 6 dan 7.

12. Silver Top – dipasang pada kebanyakan varian AE101 (Corolla Levin, Sprinter Trueno, dan Corolla JDM). Enjin 4A-GE ini memiliki 20 injap, bermakna 1 silinder ada 5 injap dengan kawalan VVT. Nisbah mampatan pula ditetapkan pada 10.5:1. Enjin 1600cc ini menghasilkan 153 kuasa kuda dan 162Nm tork. Ia dikenali dengan nama Silver Top disebabkan penutup enjin bahagian atas berwarna perak

13. Rebadge – disebabkan nama Corolla ini memang terkenal dengan ketahanan dan tak banyak masalah, General Motor membuat JV dengan Toyota bagi menggunakan platform Corolla E90, E100 dan E110 yang dijenamakan semula sebagai S Platform. GM menghasilkan Holden Nova, Chevrolet Nova, Chevrolet Prizm, Pontiac Vibe. GM memang pakar rebadge.

14. Altis – Corolla E120 ketika dilancarkan memang rasa nak siku saja designer. Namun bagi kebanyakan pasaran ASEAN kita menerima Corolla Altis yang dipasarkan dengan penggayaan lebih mewah dan lebih sporti berbanding dengan model asas Corolla. Ia dipasarkan dengan enjin 1.6 VVT-i 110hp dan 1.8 VVT-i 134hp. Dalam bahasa Latin, Altis bermaksud lebih tinggi

15. Dual VVT-i – mula membuat kemunculan dengan pengenalan model Corolla E140 bagi menggantikan enjin VVT-i dengan kod ZR. Model E140 ini juga dipadankan dengan transmisi CVT yang dihasilkan sendiri oleh Toyota menerusi subsidiarinya iaitu Aisin buat kali pertama.

16. Laku gila – Bermula dari tahun 1966 sehingga ke hari ini sebanyak 44.1 juta unit telah dijual di seluruh dunia. Ia dipasarkan di 150 buah negara dengan kilang pemasangan terletak di 16 buah lokasi berbeza. Kalau disusun Corolla ini merentasi garisan Khatulistiwa, ia mampu mengelilingi bumi sebanyak 5 kali

17. Pada tahun 2015, sebanyak 5850 unit Corolla terjual setiap hari di seluruh dunia. Ini bermakna Corolla dijual dalam purata masa setiap 15 saat

18. Abam Japar menjual AE86 dan digantikan dengan Corolla Altis baharu yang datang dengan cesi Toyota New Global Architecture.

Tags
Google ads
Back to top button