Buletin

TOYOTA PILIH GAYA SPORTY UNTUK COROLLA ULANG TAHUN KE-60, HARGA MULA RM80K

Toyota Corolla kini genap 60 tahun, dan sempena ulang tahun itu, Toyota tampil dengan edisi khas yang lebih sporty untuk pasaran Jepun berbanding membawa elemen retro atau klasik.

Model istimewa ini diperkenalkan untuk Corolla Sedan dan Corolla Touring, manakala beberapa lagi varian lain dijangka menyusul dalam tempoh terdekat.

Berbeza dengan versi ulang tahun di Taiwan yang menampilkan kemasan warna gangsa, model Jepun tampil lebih agresif menerusi asas varian Active Sport yang diperkenalkan pada 2024. Ia hadir dengan talaan casis serta perubahan gaya luaran yang lebih dinamik.

Untuk Corolla Sedan, Toyota menambah sambungan bampar depan dan skirt sisi dalam warna badan.

Corolla Touring pula menggunakan kemasan Neutral Black pada bahagian sama bagi memberi imej lebih lasak. Kedua-duanya dipadankan dengan rim aloi hitam bersaiz 17-inci.

Logo ulang tahun ke-60 turut diukir menggunakan teknologi laser pada papan pemuka berbalut kulit. Bahagian kabin sedan menggunakan kombinasi tempat duduk Mid-gray/Black, manakala Touring menerima gabungan warna Black/Dark Gray.

Di bawah bonet, kedua-dua model masih menggunakan enjin hibrid 1.8 liter yang menghasilkan kuasa gabungan sekitar 138hp.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi CVT sama ada untuk pacuan roda depan atau AWD. Varian FWD turut menerima talaan suspensi dan stereng yang lebih sporty.

Harga bagi Corolla Active Sport 60th Anniversary bermula dari ¥3,231,800 (sekitar RM80,670) untuk sedan dan ¥3,282,400 (sekitar RM81,933) bagi Touring.

Toyota turut mengesahkan bahawa versi ulang tahun ke-60 untuk Corolla Sport hatchback dan Corolla Cross akan diperkenalkan kemudian tahun ini.

Selain itu, Toyota turut melakukan beberapa penambahbaikan kecil untuk barisan Corolla standard di Jepun. Antaranya termasuk ciri Smart Entry dan pakej Navigation-Ready yang kini dijadikan standard untuk varian asas X.

Menariknya, Toyota juga memperkenalkan versi sedan khas untuk sekolah memandu. Model ini ditawarkan dengan pilihan enjin petrol atau hibrid, lengkap dengan set pedal tambahan untuk penumpang hadapan.

Untuk model Corolla standard yang dikemaskini, harga bermula sekitar ¥2,380,400 (anggaran RM59,418) bagi sedan dan ¥2,447,500 (sekitar RM61,093) untuk Touring.

Pasaran Jepun kini hanya menerima varian hibrid, kecuali model sekolah memandu yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman bersama transmisi manual.

Generasi ke-12 Corolla yang diperkenalkan sejak 2018 dan menerima facelift pada 2022 kini dilihat memasuki fasa akhir kitaran hayatnya.

Pengganti baharu dijangka muncul sekitar 2027 dengan kemungkinan membawa rekaan yang diinspirasikan daripada model konsep terbaru Toyota.

Google ads
Back to top button