
HANYA SATU MODEL TELAH DIJUAL MELEBIHI 50 JUTA UNIT – RASA-RASA MODEL APA
Sama ada anda seorang peminat atau pun tidak, Toyota Corolla telah mencipta sejarah sebagai model paling laris di dunia sepanjang zaman. Rasanya memang tak akan ada model lain yang boleh menandingi rekod jualan Corolla ni.

Sebenarnya bukan mudah untuk mencapai tahap ini. Selama 12 generasi, Corolla terpaksa bersaing hebat dengan Volkswagen Golf dan Honda Civic untuk mempertahankan rekod ini. Berbekalkan ciri pembaharuan yang berterusan, Corolla masih laku terjual walaupun terpaksa bersaing hebat dengan trend crossover yang menjadi pilihan masa kini.
Corolla muncul pada tahun 1966 dengan imej yang lebih segar berbanding Toyota Crown yang sudah dikenali ramai. Ia lebih sesuai dengan kebanyakan pemandu di seluruh dunia dengan sistem suspensi yang cukup selesa dan enjin yang berkuasa untuk bergerak dengan lancar dalam kesibukan trafik. Ia dihasilkan khusus untuk golongan berpendapatan sederhana yang mahukan sebuah kereta yang ekonomikal.

Kejayaan terbesar Corolla muncul dengan generasi E30 tahun 1974. Ia muncul di tengah-tengah krisis bahan api yang melanda dunia dan menjadi pilihan ramai kerana ia jimat minyak.
Selepas itu pengaruh Corolla mula berkembang ke seluruh dunia. Walaupun enjinnya sentiasa bertukar dan dinaik taraf, ramuan asalnya masih dikekalkan. Penjimatan bahan api, mampu milik dan boleh diharap, itulah ramuan asal Corolla yang dikekalkan sehingga kini.
Bermodalkan model generasi ke lapan yang muncul pada tahun 1997, Corolla melebarkan lagi sayap dominasinya sekaligus menewaskan Volkswagen Beetle sebagai model terlaris di dunia.

Nama Corolla bukan hanya digunakan pada kereta sedan tapi meliputi pelbagai jenis model termasuklah hatchback, sport sedan dan terbaru sekali tentulah Corolla Cross. Sememangnya nama Corolla adalah sangat berharga kepada Toyota. Ia merupakan penyumbang angka jualan terbesar Toyota.
Bahkan AE86 yang terkenal itu juga merupakan sebuah Corolla ataupun nama penuhnya dalam kad pengenalan AE86 Corolla Levin. Kembarnya pula ialah Toyota Sprinter Trueno yang digunakan oleh hero manga Initial D, Takumi Fujiwara. Tak payah nak panggil Tohai sangat la, tak sedap bunyinya.
Sekarang muncul pula model sport generasi baharu yang dinamakan GR Corolla. Punyalah berkuasa sampai abang pun dah rasa nak jual organ dalaman untuk buat modal beli sebuah.


Kredit carscoops.com