Artikel Pilihan

TOYOTA MULA TAYANG MODEL KONSEP COROLLA – LAIN MACAM BETUL RUPA PARASNYA

Toyota bakal tayangkan pelbagai model konsep pada Japan Mobility Show 2025. Pelbagai model bakal mencuri perhatian tapi paling menarik semestinya model konsep Corolla, model keluaran Toyota dengan sejarah pengeluaran paling panjang.

Konsep ini mula muncul dalam satu kempen teaser yang dinamakan “To You, Toyota” yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini. Sekali lihat adalah rasanya sedikit persamaan dengan Corolla generasi ke 12 yang ada di pasaran sekarang.

Bezanya kali ini ia tampil dengan imej yang lebih moden dan garang seakan-akan bahasa rekaan EV yang ada di pasaran sekarang. Mungkin ini merupakan hala tuju baru Toyota khususnya untuk Corolla. Mereka telah melakukan transformasi yang sama pada Prius.

Bahagian hadapan memaparkan imej baharu Toyota dengan rekaan hammerhead dengan bentangan lampu LED yang memanjang dari kiri ke kanan. Rekaan tradisional dihapuskan terus dan digantikan dengan ruang kemasukan udara pada bahagian bawah bampar.

Dari sudut profil ia memang menepati ciri sedan empat pintu yang bergaya dan sesuai untuk membawa nama Corolla ke tahap yang lebih tinggi. Bahagian sisi mungkin menempatkan pod pengecasan tapi menariknya masih mengekalkan pembuka pintu konvensional. Tak payah nak tiru EV China sangatlah.

Bahagian belakang pun sama diserikan dengan bentangan lampu LED yang memanjang siap dengan logo Toyota dan tulisan Corolla di bahagian tengah penutup but belakang.

Spesifikasi lengkap belum didedahkan Toyota tapi kalau model produksi seterusnya seiras model konsep ni memang laku keras la Toyota lepas ni. Hilang terus imej sedan pilihan orang tua yang sinonim dengan Corolla sebelum ini.

Google ads
Back to top button