Buletin

MINIVAN TERBAKAR.HERO SELAMATKAN TIGA MANGSA TERPERANGKAP

Rakaman dramatik kamera litar tertutup (CCTV) muncul dari China menunjukkan seorang lelaki menyelamatkan tiga mangsa terperangkap di dalam minivan dinaiki mereka yang terbalik lalu terbakar di jalan raya.

Difahamkan video berkenaan dirakam di wilayah Perbandaran Chongqing berdekatan Barat Daya China.

Ia menunjukkan detik cemas sebuah minivan berpusing dan terbalik di tepi jalan raya sebelum ia terbakar menyebabkan tiga mangsa terperangkap.

Begitupun, agak sukar menjelaskan bagaimana kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan itu.

Berkemungkinan besar brek bahagian belakang terkunci sehingga menyebabkan ia berpusing dan terbalik.

Selain itu, terdapat tumpahan minyak daripada saluran petrol yang pecah disebabkan hentakan kuat sebelum kelihatan kepulan asap mula naik ke udara.

Dalam insiden tersebut, seorang lelaki berbaju t-shirt jingga cuba menyelamatkan diri dengan membuka pintu tetapi tidak berhasil akibat api semakin marak.

Suasana panik berkenaan menyaksikan seorang lelaki yang tidak dikenali bergegas ke arah minivan sekali gus menendang cermin hadapan kenderaan itu sebanyak beberapa kali dalam usaha menyelamatkan mangsa.

Tindakan lelaki tersebut menyaksikan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri melalui cermin hadapan yang dipecahkan itu.

Menurut laporan, pemandu minivan mengalami luka-luka kecil akibat terkena serpihan kaca daripada cermin hadapan tersebut. Dua lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak berkuasa tiba di lokasi kejadian selepas 14 minit minivan berkenaan terbakar dan memadam kebakaran itu.- carscoops.

Google ads
Back to top button