
TOYOTA COROLLA DIBERI WAJAH BAHARU, INI PERUBAHANNYA
Toyota sekali lagi memperbaharui Corolla generasi semasa yang sudah enam tahun berada di pasaran.
Walaupun model kompak popular ini pernah menerima sedikit kemas kini untuk tahun 2025 di beberapa negara, usia platformnya mula terasa, dan Toyota memilih untuk memberi satu lagi facelift khususnya untuk pasaran China.
Maklumat itu muncul melalui dokumen kelulusan terkini Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT), di mana sedan ini dipamerkan dengan nama ‘Corolla Allion’.

Perubahan paling ketara dapat dilihat pada bahagian hadapan, yang kini mengikut bahasa rekaan baharu Toyota sebagaimana pada Prius dan RAV4 terkini.
Lampu utama kini direka dengan susun atur dua tingkat: bahagian atas berbentuk-C dengan jalur LED, manakala lampu rendah dan tinggi diposisikan di hujung bampar dalam bingkai hitam. Gril bawah yang gelap bersama spoiler depan lebih menonjol melengkapkan gaya moden tersebut.
Di sisi, perubahan hanya tertumpu pada rekaan rim baharu, manakala di belakang, lampu belakang mendapat grafik dalaman baharu serta jalur bercahaya merentasi penutup but.

Bahagian dalaman pula masih misteri kerana tiada gambar rasmi dikongsi. Tidak pasti sama ada Toyota mengekalkan papan pemuka lama atau memperkenalkan susun atur baharu berinspirasikan RAV4 yang lebih ringkas dengan skrin infotainmen lebih besar.
Dari segi mekanikal, penawaran enjin masih sama untuk pasaran China: pilihan hibrid 1.8 liter dengan kuasa maksimum sekitar 98hp dipadankan bateri NCM, serta enjin petrol 2.0 liter aspirasi natural dengan output 171hp.
Bagaimanapun, buat masa ini belum dapat dipastikan sama ada versi facelift ini akan dibawa ke pasaran lain.
- BACA: ICAR V27 EREV: RAKSASA OFF-ROAD GAYA RETRO BAKAL DILANCARKAN SUKU KEEMPAT TAHUN INI
- BACA: ERA BAHARU BERMULA, YAMAHA YZR-M1 DENGAN NADI V4 DIDEDAHKAN DI MISANO
- BACA: SUZUKI RAIDER R150 VERSI FACELIFT DIDEDAH DI INDONESIA?
- BACA: NADI WILLER BAWA PENYELESAIAN PENGANGKUTAN BERKUALITI JEPUN KE MALAYSIA





