Artikel PilihanBuletin

SELEPAS LANCER EVO, KINI PAJERO PULA MENUJU AJALNYA…

Mitsubishi Pajero, nama yang tidak asing lagi dalam arena kenderaan pacuan empat roda 4X4 dunia. Nama ikonik ini bakal menemui jalan penghujungnya apabila Mitsubishi Motors Japan telah mengumumkan pengeluaran model terakhirnya yang dikenali sebagai Pajero Final Edition.

Setelah 37 tahun dalam pasaran, pasaran Jepun akan menamatkan Pajero apabila ia akan dihentikan pada Ogos nanti. Model yang dikenali sebagai Final Edition itu akan dibina berdasarkan varian Exceed yang menampilkan beberapa ciri seperti rail bumbung, salutan kulit hitam atai ivory, sunroof berkuasa dan salutan kulit kerusi hadapan dengan sulaman “Final Edition”.

Ia juga didatangkan dengan Accessory Package yang hadir dengan spoiler belakang, penutup tayar ganti dan penghalang lumpur dengan lencana Pajero. Pembeli juga akan mendapat pelekat khas dan jam tangan edisi khas dari CItizen.

PAJERO SEBAGAI MODEL BERSEJARAH

Mitsubishi Pajero ialah sebuah kenderaan serba guna (SUV) keluaran Mitsubishi yang paling laris. Ia dinamakan sempena nama sejenis kucing liar yang hampir pupus (Leopardus Pajeros) dan pernah menghuni kawasan hutan di selatan Argentina.

Prototaip pertama Pajero diperkenalkan di Tokyo Motor Show 1973 dan prototaip kedua menyusul lima tahun kemudian. Ia dihasilkan untuk pasaran Jepun sebagai alternatif kepada Toyota Land Cruiser dan Nissan Patrol. Pajero mula dipasarkan secara rasmi pada tahun 1982 di pasaran Jepun.

Setahun selepas pengeluarannya, Pajero terus mengambil langkah drastik dengan menyertai perlumbaan tahan lasak paling popular di dunia, Paris-Dakar Rally. Pada tahun 1985, tahun ketiga penyertaan, Pajero telahpun memenangi perlumbaan tersebut.

Sehingga kini, Pajero merupakan antara kenderaan paling berjaya dalam perlumbaan tersebut dengan catatan terbaik memenangi 7 daripada 10 siri perlumbaan. Ia bukan hanya membuktikan keupayaan off-road Pajero, malah membantu dalam menaikkan angka jualannya.

Kini Pajero sudah berada di generasi keempat dan masih menguasai pasaran sebagai SUV terlaris dari Jepun. Malah di Malaysia, Pajero generasi lama masih boleh dilihat berada di mana-mana dalam keadaan baik.

GALERI

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button