
MISTERI KEHILANGAN TAYAR GANTIAN DI PINTU BELAKANG PAJERO TERJAWAB
Mitsubishi Pajero memang cukup sinonim dengan satu ciri yang sudah menjadi identiti model ini sejak sekian lama, iaitu tayar ganti yang dipasang pada pintu belakang. Namun apabila generasi baharu Pajero diperkenalkan, ciri tersebut akhirnya disingkirkan dan tayar ganti dipindahkan ke bahagian bawah kenderaan.
Menurut Kunitoshi Itagaki merangkap ketua pakar produk Mitsubishi, keputusan tersebut bukan semata-mata dibuat kerana perubahan reka bentuk. Mitsubishi turut mengambil kira maklum balas daripada pengguna di seluruh dunia serta cara Pajero digunakan dalam kehidupan seharian.
Antara pertimbangan utama ialah berat tayar ganti yang dipasang pada pintu belakang. Dengan tayar bersaiz besar digantung pada pintu, keseluruhan pintu menjadi lebih berat dan pengguna perlu menggerakkan beban tambahan tersebut setiap kali membuka atau menutup ruang kargo.
Kedudukan tayar ganti di pintu belakang juga memberikan beberapa kekangan dari segi penggunaan aksesori serta sistem menunda. Dengan memindahkan tayar ganti ke bahagian bawah badan, Mitsubishi dapat menggunakan konfigurasi pintu yang lebih konvensional dan mudah digunakan.

Perubahan itu juga mempunyai kaitan dengan cara pemilik Pajero menggunakan kenderaan tersebut pada masa kini. Tidak semua pemilik menggunakan SUV itu untuk aktiviti off-road ekstrem. Sebahagian besarnya turut menjadikan Pajero sebagai kenderaan harian, menyebabkan aspek praktikaliti dan kemudahan penggunaan menjadi semakin penting.
Walaupun tayar ganti sudah tidak kelihatan di bahagian belakang, Mitsubishi masih cuba mengekalkan identiti visual Pajero terdahulu. Pada bahagian tailgate, terdapat elemen berbentuk heksagon yang direka sebagai rujukan kepada tayar ganti yang selama ini menjadi ciri ikonik model tersebut.
Bagaimanapun, perubahan ini tetap mempunyai kompromi terutama untuk pemilik yang benar-benar menggunakan Pajero di laluan off-road. Tayar ganti yang diletakkan di bawah badan mungkin kurang mudah dicapai apabila berlaku pancit, terutama ketika kenderaan berada dalam lumpur atau di permukaan yang sukar.
Sebaliknya, tayar ganti yang dipasang pada pintu belakang lebih mudah dicapai dalam situasi seperti itu. Namun, bagi kegunaan harian, kedudukan baharu tersebut memberikan kelebihan dari segi kemudahan membuka pintu belakang dan mengurangkan beban pada struktur pintu.

Meskipun kehilangan salah satu ciri paling ikoniknya, Pajero baharu masih mengekalkan fokus terhadap kemampuan meredah laluan sukar. Model ini menggunakan binaan berasaskan ladder frame serta sistem pacuan empat roda Mitsubishi yang direka untuk kegunaan off-road.
Mitsubishi turut mengekalkan beberapa elemen yang mengingatkan kepada karakter Pajero lama, termasuklah sistem paparan maklumat off-road Multi Meter. Sistem digital itu boleh memaparkan maklumat seperti sudut kecondongan, sudut olengan, altitud, arah kompas serta maklumat berkaitan agihan tork.
Jadi keputusan membuang tayar ganti pada pintu belakang bukan sekadar soal mahu menjadikan Pajero kelihatan lebih moden. Ia merupakan sebahagian daripada usaha Mitsubishi menyesuaikan SUV ikonik itu dengan keperluan pengguna masa kini, tanpa mengorbankan sepenuhnya karakter lasaknya.






