Buletin

PROTON DIJANGKA KEMBALI MASUKI PASARAN AUSTRALIA DENGAN X70

Proton dilapor sedang bersedia untuk melakukan ‘comeback’ ke pasaran Australia selepas pengeluar kenderaan itu dilihat semakin mantap setelah menjalin kerjasama dengan konglomerat automotif terkenal dari China, Geely.

Proton meninggalkan pasaran Australia pada tahun 2017 selepas jualan kenderaannya seperti Exora, Preve dan Suprima S terus menjunam.

Beberapa tahun lalu menyaksikan Proton hanya berjaya menjual satu unit kereta berbanding 421 unit pada tahun 2015.

Kajian untuk kembali ke sana akan dibuat dalam tempoh 24 bulan sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Geely yang turut memiliki jenama Volvo, Lotus, Polestar and Lynk & Co dikatakan mahu melihat Proton kembali ke negara-negara Commonwealth dalam masa terdekat.

Ketua PR Antarabangsa Geely, Ash Sutcliffe ketika ditemui di acara Shanghai Motor Show 2019 menyatakan bahawa kepakaran Proton dalam menghasilkan kenderaan pemanduan sebelah kanan mampu melengkapkan sumber produksi Geely yang cukup besar.

“Pembangunan chasis dan platform Proton juga sangat membantu Geely. Misalnya, kami boleh menjalankan banyak ujian yang tidak dapat dilakukan di China, seperti ujian cuaca panas.

Proton juga mempunyai kemudahan yang lengkap dan ramai pekerja berbakat,” kata Sutcliffe.

Kenderaan pertama Proton/Geely yang akan dilancarkan di peringkat antarabangsa ialah X70. Model rebadge Geely Boyue itu nampaknya diterima baik oleh pengguna.  

Google ads
Back to top button