
HIBRID LANGKAH PINTAR KE ARAH KERETA MESRA ALAM – BMW, TOYOTA DESAK TINDAKAN KERAJAAN THAILAND
Pengeluar kereta terkemuka dari Jepun, China, dan Eropah secara kolektif menyeru kerajaan Thailand supaya menyokong penggunaan kenderaan elektrik (xEV) secara berperingkat, termasuk kenderaan hibrid, bersama-sama dengan model petrol serta diesel tradisional.
Mereka menegaskan bahawa peralihan secara beransur-ansur adalah penting, di mana kenderaan hibrid memegang peranan utama untuk membantu pengguna mengenali teknologi elektrik sebelum beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik bateri penuh.
Dalam satu seminar anjuran Lembaga Pelaburan (BOI) bertajuk “Membentuk Masa Depan xEV di Thailand – Peluang untuk Inovasi dan Pertumbuhan,” wakil dari enam pengeluar automotif besar seperti MERCEDES-BENZ, BMW, TOYOTA, HONDA, MG, dan CHANGAN berkongsi pandangan mereka mengenai hala tuju pembangunan xEV di negara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz (Thailand) Limited, Martin Schwenk, menekankan pelaburan syarikat serta kepelbagaian produk mereka di Thailand, khususnya dalam kenderaan elektrik bateri (BEV).
Walaupun wujud keraguan dalam kalangan pengguna terhadap BEV, beliau menegaskan bahawa polisi syarikat kekal tidak berubah.
Schwenk juga mencadangkan bahawa pelanggan yang lebih berhati-hati mungkin akan lebih tertarik dengan kenderaan plug-in hybrid (PHEV) sebagai langkah permulaan, kemudiannya dapat menjadi pintu masuk kepada penggunaan kenderaan elektrik sepenuhnya apabila pengguna lebih biasa dengan teknologi tersebut.
Beliau turut menegaskan komitmen Mercedes-Benz terhadap teknologi bateri dan kelestarian, termasuk penggunaan tenaga solar dan kitar semula tayar.
Antara permintaan utama beliau kepada kerajaan Thailand adalah:
- Menyediakan pelan tindakan jelas untuk dasar xEV dengan peluang penyertaan industri.
- Mengiktiraf sumbangan besar syarikat seperti Mercedes-Benz melalui pengurangan cukai dan penyelarasan peraturan dengan piawaian EU yang fleksibel.
- Mengurangkan halangan perdagangan dan menggalakkan kerjasama untuk meningkatkan pengeluaran dan eksport kenderaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Thailand, Rene Gerhard, menyatakan bahawa BMW sedang membangunkan pelbagai model yang menggabungkan enjin petrol, elektrik dan hibrid selaras dengan trend global.

Gerhard menekankan kepentingan rantaian nilai “hijau” yang menuntut kelestarian sepanjang proses pengeluaran, dari bahan mentah hingga produk akhir.
BMW berusaha mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 juta tan menjelang 2030 melalui pendekatan menyeluruh dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Beliau menggesa kerajaan Thailand melaksanakan dasar lebih fleksibel agar dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam industri automotif global.
Selain itu, beliau meminta kerajan mempertimbangkan pandangan pengeluar bersaiz kecil seperti BMW yang mengimport sejumlah besar kenderaan berteknologi tinggi yang dikenakan cukai tinggi.
Toyota pula berhasrat memberikan panduan lengkap kepada pelanggan dan meningkatkan pelaburan di Thailand untuk pasaran tempatan dan eksport. Jualan kenderaan hibrid di Thailand kini menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh berbanding wilayah lain.
Pengarah Toyota Thailand, Yamashita, mengakui kepentingan BEV namun menekankan bahawa pilihan pelanggan masih cenderung kepada teknologi hibrid yang dilihat sebagai peralihan penting.
Thailand juga kekal sebagai pusat utama pengeluaran trak pikap, dan Toyota merancang untuk membangunkan trak pikap elektrik bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
- BACA: SHELL RECHARGE DAN PRO-NET JALIN USAHA SAMA PERKUKUH KEMUDAHAN PENGECASAN EV
- BACA: PROJEK EV BYD DAN VINFAST DIGANGGU SAMSENG DI INDONESIA. NAK ‘PAU’ SAMPAI RM.13 BILION!
- BACA: PROGRAM XCHANGE PROTON BERI PELUANG PEMILIK TUKAR KERETA LAMA
- BACA: KEI CAR ELEKTRIK PERTAMA DARI CHINA? BYD SEDIA TEMBUS PASARAN JEPUN