Buletin

KEI CAR ELEKTRIK PERTAMA DARI CHINA? BYD SEDIA TEMBUS PASARAN JEPUN

Pengeluar kenderaan elektrik terkemuka dari China, BYD, kini dilihat bersiap sedia untuk menembusi segmen kei car menerusi pembangunan sebuah model elektrik kompak yang dikhususkan untuk pasaran negara matahari terbit.

Beberapa foto intipan yang tersebar baru-baru ini memperlihatkan sebuah prototaip bersaiz kecil sedang menjalani ujian, lengkap dengan pintu gelongsor di belakang dan rekaan tiang-A berkembar.

Kei car, atau keijidōsha, merupakan kategori unik kenderaan ultra kompak di Jepun. Undang-undang tempatan mengehadkan panjang kepada 3.4 meter, lebar 1.48 meter, dan ketinggian 2 meter, manakala kuasa enjin tidak boleh melebihi 64hp.

Walaupun insentif cukai terhadap kenderaan jenis ini dikurangkan sejak 2014, termasuk kenaikan cukai sebanyak 50 peratus, kei car masih menyumbang kira-kira 35 peratus daripada keseluruhan pasaran automotif Jepun, menjadikannya segmen penting yang tidak boleh diabaikan.

Model BYD yang sedang dibangunkan ini bakal menjadi kei car elektrik sepenuhnya pertama yang direka dari awal oleh pengeluar bukan Jepun.

Usaha sebelum ini oleh Smart dan Hyundai hanya melibatkan penyesuaian model sedia ada, bukan pembinaan khusus untuk piawaian kei Jepun. Sebaliknya, BYD membangunkan platform baharu sepenuhnya dengan tumpuan eksklusif terhadap keperluan pasaran domestik Jepun.

Menurut laporan dari China, model ini dijangka menggunakan bateri 20kWh dengan jarak operasi sekitar 180km berdasarkan kitaran WLTC, pengecasan pantas 100kW, dan sistem pemanas serta pendingin yang menggunakan teknologi pam haba untuk kecekapan tenaga.

Harga sasaran dianggarkan sekitar AS$17,700(RM75,543), menyasarkan persaingan terus dengan dua model kei EV paling popular di Jepun iaitu Nissan Sakura serta Mitsubishi eK X EV.

Pengeluaran dijadualkan bermula di China pada akhir 2026 untuk tujuan eksport ke Jepun, dengan sasaran BYD untuk menguasai sehingga 40 peratus bahagian pasaran kei EV dalam beberapa tahun selepas pelancaran.

Langkah ini menyusul kejayaan sederhana BYD di Jepun melalui model Dolphin dan Seal, yang menyumbang kepada jumlah jualan melebihi 2,200 unit sepanjang 2024.

Google ads
Back to top button