Buletin

PRO-NET JALIN KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA DC HANDAL, JOMCHARGE DAN CHARGEV  

PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) mengumumkan kerjasama strategik dengan tiga pengendali stesen pengecas kenderaan elektrik (CPO) terkemuka negara iaitu DC Handal, JomCharge dan chargEV bagi memperkenalkan rangkaian stesen pengecasan berjenama Proton e.MAS di seluruh Malaysia.

Melalui kerjasama itu, PRO-NET bersama rakan CPO akan melaksanakan pelbagai inisiatif penjenamaan dan pemasaran di lokasi pengecasan terpilih, selain menyokong usaha memperluaskan infrastruktur pengecasan serta meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik (EV) bagi pengguna Proton e.MAS.

Pelaksanaan stesen pengecasan berjenama e.MAS dijadual bermula pada suku ketiga 2026 dengan pelancaran di sebuah lokasi tumpuan pengguna sebelum diperluaskan ke destinasi lain di seluruh negara.

Fokus utama adalah kawasan awam yang mempunyai trafik tinggi dan sering dikunjungi pengguna.

Pemilik Proton e.MAS yang menggunakan aplikasi rasmi jenama itu untuk membuat pembayaran turut bakal menikmati kadar pengecasan istimewa di stesen yang mengambil bahagian, sekali gus menawarkan penjimatan tambahan kepada pelanggan.

Sebagai jenama EV nombor satu di Malaysia, Proton e.MAS terus memperkukuh ekosistem pengecasannya bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat.

Ketika ini, lebih 4,700 titik pengecasan yang merangkumi lebih 90 peratus kawasan di Malaysia boleh diakses menerusi aplikasi Proton e.MAS, selain disokong oleh fungsi Integrated Live Charging Map yang tersedia pada kenderaan e.MAS.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kemudahan pengecasan yang mudah dicapai akan menjadi faktor penting apabila semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti elektrik.

“Melalui kerjasama dengan pengendali pengecas utama, kami mahu menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih bernilai kepada pemilik e.MAS selain meningkatkan akses ke lokasi pengecasan strategik. Gabungan kekuatan PRO-NET, rakan CPO dan ekosistem digital e.MAS akan membantu menyokong pertumbuhan penggunaan EV di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim berkata, integrasi kemudahan pengecasan dengan aplikasi Proton e.MAS membolehkan proses pengecasan menjadi lebih mudah dan lancar.

Menurut beliau, kerjasama dengan pengendali pengecas yang berpengalaman juga memberi jaminan sokongan pelanggan yang lebih baik sekiranya pengguna memerlukan bantuan ketika menggunakan kemudahan tersebut.

Inisiatif berkenaan turut dilihat seiring dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh pembangunan industri EV tempatan menerusi penglibatan lebih meluas vendor dan pemain industri tempatan dalam pembangunan infrastruktur serta ekosistem mobiliti elektrik negara.

PRO-NET memaklumkan bahawa syarikat akan terus bekerjasama dengan rakan pengecasan dan pemain industri tempatan bagi memperluaskan akses kepada kemudahan pengecasan yang lebih mudah, dipercayai dan bernilai tambah untuk pemilik Proton e.MAS pada masa hadapan.

Google ads
Back to top button