Artikel Pilihan

SIRI TV ATAUPUN FILEM YANG BUATKAN ANDA SUKAKAN KERETA – BANYAK NI RASANYA

Bangsa Mekanika ni memang ramai kaki kereta dan itu memang tidak dapat disangkal lagi. Rasanya tak ada yang follow kami sebab nak baca bab makanan ataupun tips penjagaan badan. Hari ni kita buat flashback sikit tentang minat kita terhadap kereta. Bila inya bermula? Adakah ia diwarisi seperti perangai panas baran, kedekut, kehenseman dan sebagainya. Mungkin juga kan? Sebab arwah ayah dulu pun memang minat kereta.

Bila difikirkan balik memang ia berkait rapat dengan siri TV ataupun filem sebab kalau diikutkan kereta ayah-ayah kita dulu bukannya semengah sangat. Kecuali kalau anda memang anak jutawan ataupun golongan bangsawan.

Antara siri TV pertama yang mendorong abang meminati kereta ialah siri The Fall Guy yang memaparkan watak utamanya yang sentiasa memandu trak pikap keluaran GMC tahun 1984 dengan tayar-tayar bersaiz besar lengkap dengan biji spotlight di bahagian bumbung. Siap boleh lompat-lompat kau masa adegan kejar mengejar dengan polis. Watak utama dilakonkan oleh aktor Lee Major yang merupakan seorang pelakon lagak ngeri popular Hollywood.

Siri TV seterusnya tentulah Knight Rider yang memaparkan sebuah kereta berteknologi tinggi yang boleh bercakap dan mempunyai sistem AI yang cukup canggih untuk zaman itu. Sekarang kalau ada pun rasanya kena gelak je. Gila kau dengan tayar profil tinggi haram tak sporty kalau pakai zaman ni. Heronya mestilah David Hasselhoff yang tinggi lampai tu. Masa tu dia tak suka buka baju lagi.

Satu lagi siri TV retro yang abang minat semestinya ialah Starsky and Hutch (cis macam dah tua pulak aku ni). Kisah dua orang anggota polis yang serabai dan bergerak ke hulu ke hilir dengan menggunakan Ford Gran Torino berwarna merah. Ada ke polis macam tu kat dunia sebenar?

Miami Vice turut merangsang minat terhadap dunia kereta dengan watak utamanya juga seorang anggota polis yang menggunakan Ferrari Testarossa berwarna putih. Ferrari bai, kaya betul polis Amerika ni kan? Heronya hensem amat walaupun cuma mengenakan t-shirt pagoda dan blazer sambil menyarung loafer berwarna putih.

Dunia filem juga turut menyumbang kepada minat terhadap kereta dengan siri Back to the Future yang menggunakan mesin masa yang diasaskan daripada DeLorean DMC 12. Boleh terbang kau ke masa lampau ataupun masa akan dating.

Itu belum campur kereta-kereta yang digunakan perisik paling terkenal dunia, James Bond. Nak pulak Lotus Esprit yang boleh menyelam jadi kapal selam tu. Dengar khabar kereta tu dibeli oleh si Elon Musk. Entah apa projek yang nak dibuatnya dengan prop filem tu.

Kalau nak disenaraikan satu-satu memang tiga hari tiga malam pun tak habis jadi baik kita sambung perbincangan secara berjamaah di lama FB Mekanika.

Google ads
Back to top button