Buletin

SISTEM PEMBAYARAN TERBUKA DI LEBUHRAYA NPE, AKLEH, GCE, BESRAYA, JAMBATAN P.PINANG SEPTEMBER INI

Beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya pada September depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi, berkata lebuh raya itu ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Leburaya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

“Sejak awal tahun ini, saya sudah mengarahkan perancangan serta perbincangan bersama pihak terbabit serta syarikat konsesi lebuh raya bagi mengorak langkah ke arah pelaksanaan sistem pembayaran terbuka.

“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini antara inisiatif awal sebagai peralihan kepada arah Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementeriannya untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.

Beliau berkata, buat masa ini, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi bayangan monopoli Touch ‘n Go (TnG) mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Alexander memaklumkan, ‘Proof of Concept’ (POC) MLFF juga akan dijalankan sebelum penghujung Oktober depan bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya di Malaysia.

Katanya, lokasi pelaksanaan POC sedang dalam rundingan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan MLFF ini akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024,” katanya.

Beliau berkata, melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol di semua lebuh raya sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pihak penyedia kemudahan ‘e-wallet’ untuk turut serta selain menghentikan monopoli oleh TnG.

“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka.

“Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semu apihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua terutamanya rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button