Buletin

CFMOTO 700CL-X ADVENTURE (ADV) TIBA DI MALAYSIA APRIL 2023. 69HP, BERMULA RM35K

Selain pelancaran 450SR di peringkat global, CFMOTO turut memperkenalkan 700CL-X ADVENTURE (ADV) di Intercity Istanbul Park, Turkiye semalam.

Berbeza dengan dua model pertama bagi siri tersebut (Heritage 2020 dan Sport 2021), 700CL-X ADV ditawarkan untuk para penunggang yang gemarkan cabaran.

Model itu dilengkapi sistem pencahayaan pintar iaitu lampu hadapan automatik LED, sementara isyarat membelok secara automatik akan kembali ke kedudukan asalnya.

Turut disertakan ialah T-box yang didatangkan sebagai pilihan. Ia mempunyai modul 4G binaan dalam serta sensor 6D yang berfungsi sebagai paparan status kenderaan, kedudukan, jarak dan sebagainya dalam masa nyata.

Berdasarkan kedudukan tunggangan model 700CL-X Heritage, hendal telah dianjak ke atas sebanyak 30mm dan ke belakang sebanyak 15mm bagi mencerminkan gaya scrambler selain ditambah kelebihan off-road lain.

Kusyen pelana turut ditebalkan dua kali ganda untuk memberi keselesaan optimum, sekali gus memudahkan pengendalian.

700CL-X ADV dikuasakan oleh enjin DOHC silinder berkembar sebaris, 4-lejang dengan sistem penyejukan cecair disesuaikan untuk ciri scrambler pada motosikal ini. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa maksimum 69hp pada 8,500rpm dan tork 60.9Nm pada 6,500rpm.

700CL-X ADVENTURE (ADV)  akan mula berada di pasaran Malaysia pada awal April pada harga jualan asas RM35,888 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran).

Hadir dengan satu pilihan warna iaitu Aurora Blue, pembeli juga bakal menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (mana-mana tiba dahulu).

GALERI:

Google ads
Back to top button