Buletin

PROJEK SUKE SUDAH 87% SIAP, LEBIH AWAL DARIPADA JADUAL DITETAPKAN

Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah mencatatkan kemajuan keseluruhan pembinaan sebanyak 87 peratus pada akhir tahun 2020.

Ia disokong dengan pakej CB3 yang menghubungkan Jalan Taman Putra dengan Jalan Merbau berhampiran Pekan Ampang yang sudah 100 peratus siap. Pakej CB3 merupakan pakej pertama dalam lapan pakej pembinaan yang siap sepenuhnya bagi projek Lebuhraya SUKE.

Timbalan Pengurus Besar SUKE, Ir. Dr. Zarulazam Eusofe memberitahu, pakej CB3 sepanjang 2.7km melibatkan laluan kawasan Ampang Waterfront, Bandar Baru Ampang dan berakhir di Jalan Merbau, berhampiran LRT Ampang.

Kerja-kerja pembinaan itu telah mengambil masa selama empat tahun dan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Apabila Lebuhraya SUKE ini dibuka kepada pengguna kelak, jajaran pakej ini akan membantu melancarkan aliran trafik dari kawasan sekitar Bukit Indah, Kampung Dato’ Mufti, Taman Kosas dan Bandar Baru Ampang.

“Pengguna yang menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur hanya perlu menggunakan Persimpangan Kosas atau Persimpangan Ampang seterusnya melalui Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Dengan jarak sekitar 12 kilometer dari persimpangan-persimpangan tersebut, pemanduan hanya akan mengambil masa sekitar lapan minit, tanpa perlu menempuh kesesakan trafik di Jalan Ampang,” ujar Ir. Dr. Zarulazam.

Dengan pembangunan projek Lebuhraya SUKE ini, ia bakal memberi manfaat besar terutama kepada penduduk sekitar Ampang. Ini kerana pihak PROLINTAS telah menaik taraf Jalan Ampang sedia ada yang terletak di bawah struktur Lebuhraya SUKE.

Jalan Ampang sebelum ini hanya mempunyai dua Lorong tetapi kini telah dilebarkan kepada tiga lorong setiap hala. Dengan penambahbaikan ini, pengguna di Jalan Ampang akan mendapat jalan yang lebih selesa, lancar serta percuma.

Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km bermula pada 29 Ogos 2016. Apabila siap sepenuhnya kelak, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.

Bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Lebuhraya SUKE akan mempunyai sambungan terus highway to highway, dengan menghubungkan secara terus beberapa lebuh raya utama dalam bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya BESRAYA dan Lebuhraya KESAS.

Untuk rekod, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd. anak syarikat penuh Kumpulan Syarikat PROLINTAS merupakan pemegang konsesi bagi projek pembinaan Lebuhraya SUKE.

Google ads
Back to top button