BuletinMotosikal

SKUTER HIPSTER – YAMAHA QBIX 125 DILANCARKAN DI THAILAND

Baru-baru ini di Bangkok International Motorshow, Yamaha telah memperkenalkan skuter baharu yang dinamakan Yamaha Qbix dengan 125cc. Model ini bakal menyaingi Honda Zoomer keluaran Honda (tidak dipasarkan di Malaysia).

Berbeza dengan skuter berkapasiti kecil lain keluaran Yamaha yang elegan seperti Ego dan Nouvo yang ada di pasaran Malaysia, Qbix ini mempunyai penampilan yang futuristik dan bersegi. Malahan kesemua lampu-lampunya menggunakan LED sepenuhnya. Disebabkan rekaannya yang berkotak dan lampu LED yang tidak banyak memakan ruang, bahagian simpanan barangan semestinya cukup besar.

BACA: RM2000, LELAKI INI RENTAS 6 NEGARA DENGAN SKUTER SYM

Ciri futuristiknya juga diserlahkan dengan penggunaan bahagian elektronik yang diambil dari Yamaha NVX (juga masih belum dipasarkan di Malaysia tetapi cukup ditunggu-tunggu) seperti speedometer dan sistem penghidup bebas kunci. Ia juga mempunyai sistem start-stop yang akan mematikan enjin sewaktu berhenti di lampu isyarat merah dan akan dihidupkan kembali ketika pendikit diputar.

Ciri lain yang cukup digemari generasi masa kini ialah soket USB untuk mengecas telefon pintar yang merupakan satu kemestian pada masa kini. Apatah lagi ia disertakan dengan ruangan bertutup yang cukup besar untuk menyimpan gajet ataupun peranti anda sambil di cas semula. Cukup memudahkan jika terpaksa menunggang sewaktu hari hujan. Tak payahlah kita terkial-kial berhenti untuk menyimpan telefon pintar di bawah tempat duduk sebab takut dibasahi hujan.

Ruang barangan di bawah tempat duduk merupakan antara terbesar dalam kelasnya kerana mempunyai kapasiti 22.5 liter. Dikatakan ia mencukupi untuk memuatkan dua biji helmet full face. Memang besar tu, kalau helmet separuh mau empat biji boleh masuk dalam.

Pelengkap gaya skuter Qbix ini ialah rim-rim yang dibalut dengan tayar-tayar bersaiz 12 inci yang cukup lebar untuk kestabilan. Enjinnya juga semestinya enjin Blue Core SOHC 125cc terbaharu Yamaha dengan sistem pendingin menggunakan kipas. Ia dikatakan mampu menghasilkan sekitar 9.5hp kuasa maksima pada 8000rpm dan tork maksima 9.6Nm pada 5500rpm. Lebih dari mencukupi untuk memacu skuter ini dicelah kesibukan bandaraya.

Untuk pasaran Thailand, model ini ditawarkan dengan tiga varian berbeza iaitu Standard, S-Version dan ABS. S-Version dan ABS lebih lebar 30mm berbanding varian standard. Selain daripada itu ukuran dimensi tayarnya juga berbeza. S-Version dan ABS dibezakan dengan kelengkapan ABS semestinya.

Walaupun rupa parasnya dilihat agak pelik, jika dibawa masuk ke Malaysia rasanya ia akan menarik perhatian ramai pembeli kerana ia kelihatan cukup bergaya. Tengok sahaja gambar-gambar yang disertakan dan kami rasa ramai yang akan sependapat dengan kami.

Ia bukan hanya skuter tetapi lebih kepada fesyen. Ingat macam mana sambutan yang diterima Vespa sewaktu pertama kali diperkenalkan? Ramai yang mengatakan ia kelihatan pelik tetapi akhirnya ia menjadi antara ikon dunia automotif yang paling berpengaruh.

Kami melihat sendiri skuter ini sewaktu di Bangkok kelmarin dan apa yang boleh dikatakan, ia sebuah skuter dengan rekabentuk yang berani, atau sangat berani. Tapi, kalau anda berangan untuk membelinya, maaf, Ia tidak ada dalam senarai perancangan Hong Leong Yamaha dalam masa terdekat.

Logiknya, skuter dengan rekabentuk futuristik ini adalah untuk “negara skuter” sedangkan kita memang majoritinya pasaran kapcai.

BACA: SKUTER “CACAT” CEZETA BERKUASA ELEKTRIK

BACA: BAGAIMANA VESPA TUKAR SKUTER JADI IKON GAYA HIDUP

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button