
SUBARU CROSSTREK LIMITED SUN BLAZE EDITION – TEMPAH SAMPAI MEI SAHAJA!
Subaru Crosstrek generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 2022 dan menggugurkan nama XV yang digunakan sebelum ini.
Pengguguran XV untuk penyeragaman di peringkat antarabangsa. Crosstrek belum dibawa masuk ke pasaran tempatan kecuali negara jiran.
Crosstrek dilancar di Indonesia pada 2023 dan Thailand menerima Crosstrek e-Boxer (hibrid ringan/MHEV) pada 2024.
Selain itu, pada Januari 2025 Subaru mengumumkan model terbaru Crosstrek bakal menggunakan rangkaian kuasa hibrid baharu dengan enjin 2.5 liter dan bateri litium-ion berkapasiti tinggi.
Terbaru di Jepun Subaru memperkenalkan Crosstrek Limited Sun Blaze Edition.
Sebagai edisi terhad, Limited Sun Blaze bukan untuk selama-lamanya dan hanya dibuka dari 13 Mac sehingga 19 Mei 2025. Tempoh dan masa terhad!
Limited Sun Blaze diasaskan dari varian sedia ada Crosstrek Limited dan belum lagi menggunakan rangkaian kuasa hibrid baharu.
Sesuai dengan nama, edisi ini tampil dalam warna badan eksklusif Sun Blaze Pearl. Bahagian dalam dibalut kulit asli kelabu dengan jahitan oren.
Ciri Istimewa Limited Sun Blaze Edition Berbanding Model Limited:
- Warna badan: Sun Blaze Pearl
- Kerusi: Kulit asli warna kelabu, jahitan oren
- Papan pemuka: Kemasan ala karbon Blaze Gunmetal
- Panel meter: Blaze Gunmetal
- Tuil gear: Balutan kulit, (Blaze Gun Metallic)
- Sarung gear: Jahitan oren
- Panel pintu: Kulit kelabu dengan jahitan oren dan hiasan ala karbon Blaze Gunmetal
- Penutup konsol tengah: Kelabu dengan jahitan oren
- Navigasi terbina dalam
Crosstrek Limited Sun Blaze Edition digerakkan enjin 2.0 liter hibrid ringan e-Boxer. Enjin menghasilkan 145 ps pada 6,000 rpm dan 188 Nm 4,400 rpm. Motor elektrik memiliki kuasa 10 kW (13.6) ps dan 65Nm.
Enjin dipadan bersama kotak gear Lineartronic CVT dan pilihan pacuan depan (FWD) atau semua roda (Symmetrical AWD).
Di Jepun, Crosstrek Limited Sun Blaze Edition FWD ditawarkan pada harga 3,355,000 yen (RM100,399) dan 3,569,500 yen (RM106,824) untuk model AWD.