Buletin

SUBARU CROSSTREK LIMITED BLACK UNTUK JEPUN, CROSSTREK MALAYSIA BAKAL TIBA PADA MEI!

Subaru mengumumkan Crosstrek baharu atau dahulu dikenali sebagai XV akan mula dijual di pasaran tempatan pada Mei dan model ini diimport terus di Jepun.

Di Jepun Subaru memperkenalkan edisi khas Crosstrek Limited Black pada 2 April 2026. SUV crossover ini menggabungkan elemen reka bentuk lasak dan sporty dengan struktur badan yang kompak serta mengekalkan keupayaan sebuah SUV sebenar.

Model edisi khas Limited Black ini dibangunkan berasaskan varian Limited yang sedia ada.

Ia mengekalkan identiti kenderaan pelbagai guna yang lincah namun diberikan sentuhan estetik yang lebih eksklusif melalui penggunaan tona gelap pada bahagian luaran dan dalaman.

Perincian Luaran dan Dalaman

Dari sudut visual luaran, edisi Limited Black tampil berbeza dengan kemasan cat hitam pada bahagian cermin sisi, spoiler dan palang pada gril hadapan.

Rim aluminium bersaiz 18 inci yang menggunakan kemasan cat metalik gelap.

Memasuki ruang kabin, tema tona gelap diteruskan dengan penggunaan kemasan hitam pada bahagian dalam pintu serta bahagian bumbung dan tiang.

Panel instrumen dan panel hiasan pula hadir dengan kombinasi warna hitam dan gaya gentian karbon dengan cat Blaze Gunmetal.

Beberapa bahagian lain seperti lingkaran tengah panel instrumen dan panel lingkaran penukar gear turut menerima kemasan warna Blaze Gunmetal.

Keselesaan pemandu ditambah dengan penggunaan stereng dan tuas gear balutan kulit asli yang dihiasi jahitan perak serta aksen Blaze Gunmetal.

Untuk varian Premium S:HEV, balutan tempat duduk menggunakan fabrik atau trikot dalam warna kelabu dan hitam dengan jahitan perak.

Rangkaian Kuasa Hibrid

Subaru Crosstrek Limited Black dikuasakan oleh rangkaian kuasa e-BOXER yang menggabungkan enjin petrol dengan teknologi hibrid.

Jantung mekanikalnya menggunakan enjin FB20 bersesaran 1,995 cc dengan konfigurasi 4 silinder mendatar DOHC 16 injap serta sistem Dual AVCS pancutan terus.

Enjin ini berupaya menghasilkan output maksimum sebanyak 107 kW (145 ps) pada 6,000 rpm dengan tork maksimum setinggi 188 Nm pada 4,000 rpm.

Sistem ini turut dibantu oleh motor elektrik jenis MA1 (motor segerak AC) yang memberikan kuasa tambahan sebanyak 10 kW (13.6 ps) dan tork 65 Nm.

Tenaga elektrik dibekalkan oleh bateri utama jenis lithium-ion yang mempunyai kapasiti 4.8 Ah.

Kesemua kuasa ini dihantar ke roda melalui transmisi Lineartronic (CVT) yang turut dilengkapi dengan mod manual 7 kelajuan untuk pemanduan yang lebih terkawal.

Pengguna boleh memilih antara sistem pacuan roda hadapan (FWD) atau sistem pacuan semua roda (AWD) mengikut keperluan pemanduan.

Harga Jualan

Bagi pasaran Jepun, harga jualan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Crosstrek Limited Black FWD: ¥3,234,000 (sekitar RM81,691)
  • Crosstrek Limited Black AWD: ¥3,448,500 (sekitar RM87,109)

Harga yang dinyatakan adalah termasuk cukai penggunaan 10 peratus. Bagi pilihan warna badan tertentu, terdapat tambahan harga sebanyak ¥33,000 (kira-kira RM833).

Google ads
Back to top button