Buletin

SUZUKI JIMNY SIERRA PICKUP TRUCK – GAYA RETRO DENGAN PANEL KAYU

Kalau anda perasan, banyak betul modifikasi Suzuki Jimny dihasilkan sejak kebelakangan ini.

Apa yang menariknya, tiada satu pun modifikasi itu yang nampak cacat. Perkembangan tersebut secara tidak langsung menaikkan lagi saham Jimny yang dilihat semakin diminati di hampir seluruh dunia.

Terbaharu, Suzuki Jepun sudah menghasilkan dua model konsep untuk dipamerkan pada acara Tokyo Auto Salon 2019. Paling menarik pastinya trak pikap Jimny Sierra yang dipasang dengan kemasan kayu pada bahagian sisi.

Gril trak pikap itu pula diganti dengan rekaan lebih retro bersama emblem tulisan SUZUKI. Untuk membuktikan keupayaannya menempuh laluan off-road, jentera tersebut dipasang dengan fender lebar, tayar berbunga tebal dan jarak kelegaan tanah lebih tinggi,

Jimny Sierra juga dilengkapi empat unit lampu spotlight LED pada bumbungnya.

Model konsep kedua ialah Jimny Survive yang disasarkan untuk peminat tegar off-road. Selain mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi, tayar off-road, bahagian hadapan dipasang dengan bampar besi bersama winch dan penyangkut untuk ujuan menunda

Lampu utama dilindungi dengan jaring. Sementara fender hadapan dan belakang dipasang dengan plat besi untuk memberi perlindungan tambahan serta penampilan lebih dramatik.

Rak bumbung Jimny Survive juga bertindak sebagai roll cage dengan bar yang dipasang pada tiang A, B dan C.

Jika anda tidak berminat dengan kedua-dua konsep Jimny ini, jangan bimbang. Ini kerana Suzuki turut mempamerkan model Swift Sport Yellow Rev. Hatchback itu tampil dengan warna kuning mutiara yang istimewa bersama jalur putih dan kelabu pada fender dan pintu.

Google ads
Back to top button